Msia boleh perbetul persepsi negatif media barat mengenai Islam
Malaysia diminta menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk membetulkan persepsi negatif laporan media barat mengenai Islam.
Malaysia diminta menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk membetulkan persepsi negatif laporan media barat mengenai Islam.
Ketika membuat gesaan itu, Senator Datuk Mohamad Taha Ariffin berkata, kepimpinan negara yang berkredibiliti tinggi, mampu untuk memberi penerangan yang tepat mengenai Islam.
Berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2004 di sidang Dewan Negara hari ini, beliau berkata kepimpinan yang berkaliber ini dapat digunakan sebagai satu kelebihan untuk membetulkan tanggapan salah media dan masyarakat barat mengenai Islam.
Bernama
memetik beliau sebagai berkata, imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan kesederhanaan dan tidak ekstrim, dapat juga digunakan dalam mempengaruhi kefahaman masyarakat barat terhadap agama Islam."Media barat menganggap agama Islam adalah hak mutlak kaum Arab, sedangkan majoriti daripada penganut agama Islam di dunia ini adalah golongan bukan Arab. Persepsi seperti inilah yang perlu diperbetulkan," tambahnya.
Mohamad Taha juga menegaskan pentingnya penguasaan pelbagai bahasa antarabangsa selain dari bahasa Inggeris, agar mesej mengenai Islam dapat disebarkan secara meluas ke serata dunia.
Khidmat negara
Sementara itu, Senator Datuk Kalakau Untol pula menyarankan agar penyertaan dalam Program Khidmat Negara dijadikan sebagai prasyarat kepada individu yang mahu memohon kewarganegaraan Malaysia.
Menurutnya, langkah itu akan membantu pemahaman mereka mengenai budaya dan adat resam negara ini selain menyemai di jiwa mereka semangat cintakan negara.
Di samping itu, katanya program itu juga patut disertai oleh semua anggota pembangkang supaya mereka tidak terus bermain api yang boleh menggugat perpaduan negara.
Kalakau turut menyarankan supaya dihidupkan semula konsep masyarakat menjadi "mata dan telinga" pihak polis bagi membantu pihak berkuasa mencegah kegiatan jenayah yang kian merunsingkan.
Datuk Muhammad Ghani pula mencadangkan supaya gaji permulaan bagi anggota tentera berpangkat rendah dinaikkan daripada RM605 sekarang kepada sekurang-kurangnya RM800, bagi menarik lebih ramai golongan muda menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kenaikan gaji itu, tambahnya, juga sebagai pengiktirafan terhadap beban tugas dan risiko tinggi yang dihadapi oleh anggota tentera.
Sambil menegaskan pentingnya mengubah persepsi golongan muda yang sering menjadikan kerjaya ketenteraan sebagai pilihan terakhir, beliau berkata: "Jika keadaan ini berterusan, maka tahap profesionalisme ATM akan sentiasa dipersoalkan".
"Kita perlu menukar pemikiran golongan muda sekarang supaya memilih kerjaya ketenteraan sebagai pilihan pertama dan setelah gagal barulah mereka mencuba kerjaya lain," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.