Masjid runtuh ketika jemaah sembahyang terawih
Kira-kira 30 jemaah yang sedang menunaikan solat terawih bertempiaran lari apabila bangunan masjid tiba-tiba runtuh sewaktu hujan lebat dan angin kencang malam tadi.
Kira-kira 30 jemaah yang sedang menunaikan solat terawih bertempiaran lari apabila bangunan masjid tiba-tiba runtuh sewaktu hujan lebat dan angin kencang malam tadi.
Kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 9.15 malam dan para jemaah yang panik, lari menyelamatkan diri melalui pintu dan tingkap masjid tersebut yang terletak di Kampung Kemarok, Pantai Sabak dekat Kota Baru, Kelantan.
Menurut laporan Bernama , Masjid Rabbaniah itu sebelum ini berkeadaan uzur berikutan menghadapi ancaman hakisan di Pantai Sabak sejak beberapa tahun lalu.
Masjid yang boleh memuatkan kira-kira 100 jemaah pada satu-satu masa itu dibina pada 1986 dan merupakan masjid yang kedua dibina selepas masjid yang pertama runtuh akibat masalah yang sama
Menurut ahli jawatankuasa masjid berkenaan, Aznan Hamzah, 44, lantai simen masjid tiba-tiba mendap ketika kesemua jemaah, termasuk 20 wanita sedang berdoa pada akhir sembahyang terawih, hingga ada jemaah yang tergelongsor.
Katanya lagi, sejurus selepas kesemua jemaah menyelamatkan diri, dinding dan lantai bahagian masjid yang menghadap pantai itu runtuh.
Bina tembok
"Mujur tiada kanak-kanak di dalam masjid. Jika tidak saya rasa ada yang terperangkap dalam mendapan lantai simen itu tetapi Alhamdulillah semasa itu kami sempat tarik tangan beberapa jemaah yang hampir terjatuh," katanya.
Angin kencang tersebut turut memusnahkan dua buah rumah penduduk kampung yang terletak bersebelahan masjid berkenaan.
Aznan berkata penduduk di kampung itu yang rata-ratanya nelayan akan menggunakan dewan milik Jabatan Perikanan Kelantan yang terletak berhampiran kampung tersebut bagi tujuan beribadat.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri dapat memberi bantuan seperti membina masjid baru dan menyegerakan kerja-kerja tebatan ombak di kampung itu.
Pertengahan tahun ini, Timbalan Menteri Pertanian Datuk Seri Mohd Shariff Omar yang melawat pantai itu telah meluluskan peruntukan bagi membina batu-batu sebagai tebatan ombak bagi mengelakkan hakisan di kawasan berkenaan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.