Empat pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM), termasuk seorang penolong pengarah, dikenakan tahanan reman selama 14 hari berhubung siasatan jabatan berkenaan terhadap kegiatan penyeludupan kereta mewah ke negara ini.

Bernama memetik Ketua Pengarah KDRM, Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib sebagai berkata, kesemua mereka yang berkhidmat dengan Kastam Selangor, ditahan reman mengikut Seksyen 116 Akta Kastam (Pindaan) sejak seminggu lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas Perhimpunan Perdana Kastam Johor di Johor Bahru hari ini, beliau berkata, jabatannya akan menyiasat sama ada mereka telah menyalahtafsirkan cukai kereta import itu secara sengaja, jahil atau kerana tidak tahu, atau menerima sebarang habuan.

"Jika mereka menerima sebarang habuan, ia membabitkan rasuah dan ini bidang kuasa agensi lain seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR)," katanya.

Pada 4 Nov lalu, KDRM menahan tiga termasuk seorang rakyat Britain kerana disyaki memalsukan beberapa dokumen Kastam bagi membawa masuk 77 kereta mewah jenis Mercedes Benz dan BMW dari United Kingdom ke Malaysia.

Kereta-kereta mewah tersebut itu diisytiharkan sebagai terpakai walaupun semuanya merupakan kereta baru untuk mengelakkan dari membayar cukai yang lebih tinggi.

Menurut Abdul Halil lagi, selain pegawai rendah, terdapat di antara mereka yang ditahan itu merupakan penolong pengarah di bahagian penguatkuasa.

Memamatuhi prosedur

Mereka yang ditahan reman itu, katanya, telah memberikan kerjasama ketika disoal siasat dan ini membantu memudahkan siasatan terhadap kes tersebut.

Sehubungan itu, katanya, KDRM akan menimbang pelbagai sudut, sama ada hendak mengheret mereka ke Lembaga Tatatertib bagi diambil tindakan seperti buang kerja, tahan gaji atau letak jawatan.

"Kita akan mematuhi prosedur di dalam mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota. Kita tidak boleh mengambil tindakan sewenang-wenangnya di luar prosedur jabatan," katanya.

Mengenai 77 kereta mewah itu yang mempunyai nilai cukai sebanyak RM46 juta, beliau berkata kastam telah berjaya menahan 32 daripadanya dan masih menjejak 45 buah lagi.

"Kita yakin di dalam tempoh seminggu kita akan memperolehi kesemuanya," kata beliau.