Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak - sepertimana yang didakwa oleh DAP - permohonan pendaftaran pengundi yang tidak disertakan dengan salinan MyKad pemohon, Ketua SPR Abdul Aziz Mohd Yusof berkata.

Apa yang SPR perlukan, kata Abdul Aziz, ialah bagi parti-parti politik berkenaan yang menghantar borang tersebut, supaya menyertakan salinan MyKad pemohon bersama-sama dengan borang berkenaan.

Katanya, ia bertujuan untuk mengelak penolong pendaftar daripada parti-parti politik, daripada cuba mendaftar orang yang tidak layak, sebagai pengundi.

"Kita tidak menolak (permohonan) sepenuhnya. Pastikan anda dapatkan (salinan MyKad) sebelum bulan Disember berakhir," kata Abdul Aziz selepas sesi taklimat untuk pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus pilihan raya.

Dari bulan ini hingga akhir bulan Disember, SPR akan menerima permohonan pendaftaran pengundi untuk suku keempat tahun ini.

Awal minggu ini, ahli parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok mendakwa SPR Wilayah Persekutuan menolak lebih 500 borang permohonan pengundi baru kerana salinan MyKad mereka tidak disertakan.

Kok berkata mereka tidak dimaklumkan oleh SPR mengenai keperluan baru ini.

[Baca berita penuh]