Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) berharap bekas wakil rakyat akan turut menerima bantuan kewangan daripada kerajaan seperti yang diberikan kepada pesara awam menerusi Belanjawan 2012 yang diumumkan Jumaat lepas.

    

Setiausaha agung Mubarak, Datuk Abdul Rahman Ibrahim berkata terdapat lebih 1,000 bekas wakil rakyat di negara ini yang amat berharap mendapat imbuhan sekurang-kurangnnya sama seperti jumlah minimum yang akan diterima pesara kerajaan dalam bayaran pencen November ini.

    

Bercakap kepada pemberita selepas menziarahi bekas ADUN Merbau Pulas, Pora Omar, 72, di rumahnya di Kampung Keladi di Kulim semalam, Abdul Rahman berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi pertimbangan sewajar terhadap permohonan itu.

    

Dalam lawatan itu, Abdul Rahman menyampaikan sedikit sumbangan daripada Mubarak kepada Pora dan suaminya Abu Hasan Ismail, 74, yang hilang penglihatan sejak beberapa tahun lalu.

    

Beliau dan beberapa anggota Mubarak Kedah turut menziarahi beberapa bekas wakil rakyat di Kedah yang kini terlantar uzur di rumah masing-masing iaitu Datuk Zakaria Said dan Datuk Abdul Hamid Tahir.

    

Sementara itu, pesara yang mempunyai waran pencen bertarikh 19 hingga 31 Oktober, boleh menunaikan waran mereka pada 18 Oktober.

    

Pembayaran awal pencen itu diputuskan kerajaan sempena perayaan Deepavali pada 26 Oktober.

    

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Perkhidmatan Awam berkata pesara yang dibayar pencen melalui bank boleh menuntut pembayaran itu di bank berkenaan mulai 18 Oktober.

- Bernama