Malaysia, selaku pengerusi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), tidak berpuas hati dengan penetapan bulan Jun sebagai tempoh akhir bagi mewujudkan kerajaan peralihan di Iraq yang berdaulat dan berperlembagaan.

Sebaliknya, kata Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar, mereka mesti menetapkan tempoh akhir bagi tentera yang menduduki Iraq untuk meninggal negara itu, dan meletakkannya di bawah kawalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Dengan itu lebih banyak negara boleh turut serta membina semula Iraq," katanya selepas melancarkan buku bertajuk "Foreign Worker Employer's Handbook" karya Datuk Dr Kang Chin Seng di Kuala Lumpur hari ini.

Bernama

memetiknya sebagai berkata, situasi di Iraq akan menjadi semakin buruk melainkan PBB campurtangan dan tempoh akhir ditetapkan bagi pasukan tentera yang menduduki Iraq supaya berundur manakala rakyat Iraq diberikan kuasa penuh untuk mentadbir negara mereka.

"Biarkan rakyat Iraq mengadakan pilihanraya. Negara-negara Islam juga akan turut membantu membina semula negara itu sekiranya keseluruhan proses diletakkan di bawah kepimpinan PBB dan bukannya kuasa besar tunggal," katanya.

Ditanya sama ada negara ini akan turut terbabit dalam pembangunan semula Iraq, beliau berkata, Malaysia akan mengambil bahagian hanya sekiranya PBB diberikan tugas membina semula negara tersebut.

Sabtu lalu, Majlis Pemerintah Iraq, selepas mengadakan perbincangan dengan pentadbir awam yang disokong Amerika Syarikat Paul Bremer, telah mengeluarkan kenyataan bahawa sebuah kerajaan peralihan baru dengan kedaulatan sepenuhnya akan diwujudkan pada hujung Jun 2004.

Mangsa tidakbalas

Menurut majlis itu lagi, selaras dengan itu, pihak berkuasa pakatan sementera yang diketuai Amerika akan dibubarkan dan "pendudukan tentera akan berakhir".

Kebanyakan anggota Majlis Pemerintah Iraq, di samping beberapa pemimpin Kongres Amerika, mahu tentera Amerika meninggalkan Iraq secepat mungkin tetapi Rumah Putih pula menegaskan tentera Amerika akan kekal di negara itu sehingga bekas Presiden Saddam Hussein dibunuh atau ditawan.

Syed Hamid berkata, rakyat Iraq seharusnya segera diberi kesempatan untuk mentadbir negara mereka berdasarkan norma serta amalan antarabangsa, bagi mengelakkan pertumpahan darah secara berterusan yang membabitkan rakyat Iraq dan tentera yang mendudukinya.

Menurutnya lagi, kekurangan perakuan oleh PBB dalam serangan ke atas Iraq mengakibatkan penderitaan rakyat Iraq yang hidup "dalam keadaan lebih buruk berbanding semasa regim Saddam.

Katanya, pembunuhan setiap hari tentera yang menduduki Iraq juga akan menjadikan rakyat Iraq sebagai mangsa kepada tindakbalas pihak berkenaan.

"Orang awam merupakan mereka yang akan menderita....cara mereka (tentera yang menduduki) menyerang dan memusnahkan rumah-rumah hanya merupakan satu contoh," kata Syed Hamid lagi.

Beliau turut menggesa Amerika menyediakan butiran laporan penangkapan seorang rakyat Malaysia di Iraq oleh tentera Amerika Syarikat beberapa bulan lalu.lepas.

"Mereka tidak memberikan sebarang maklumat mengenai rakyat Malaysia yang ditahan itu...mereka perlu memaklumkan kepada kami. Orang itu perlu diserahkan selepas mereka selesai menyoal atau menyiapkan penyiasatan..," katanya.