Most Read
Most Commented
Read more like this

Seorang pemimpin pelajar, Ahmad Zaki Yamani Zainon, mengambil tindakan saman terhadap Menteri Pendidikan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang memecat beliau sebagai hukuman terhadap pembabitannya dalam kegiatan pelajar yang proreformasi. Bagaimanapun, Ahmad Zaki kini dalam siasatan polis berhubung dakwaan beliau menyertai perhimpunan haram pada 14 April tahun lepas, hari bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman enam tahun penjara.

Beliau dikehendaki hadir ke Balai Polis Jalan Bandar pada Sabtu depan untuk siasatan lanjut dan pertimbangan untuk didakwa di mahkamah.

Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), anggota gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM), itu sebelum ini ditahan di pejabatnya di Wangsa Maju pada 22 Disember lalu sejurus sebelum dibawa ke Balai Polis Jalan Stadium selama beberapa jam untuk tujuan siasatan.

"Beberapa hari selepas disoal siasat, saya dihubungi seorang pegawai polis dari Bukit Aman dan beliau menyatakan kemungkinan lebih ramai pemimpin pelajar ditahan," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Menurut Ahmad Zaki, soal siasat polis itu mungkin ada hubungannya dengan tindakan beliau menyaman UiTM dan Menteri Pendidikan yang memecatnya pada Mei tahun lalu.

Pada November lalu, katanya lagi, beliau berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk membolehkan beliau mengambil tindakan menyaman Menteri Pendidikan. Akta Universiti dan Kolej Universiti menghalang seseorang pelajar mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap menteri.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Faizal Tamby Chik mengeluarkan perintah mengetepikan akta universiti tersebut.

Kes saman itu yang sepatutnya didengarkan secara certiorari pada 4 Januari lalu itu ditangguhkan sehingga Mac depan selepas UiTM menfailkan afidavit balas sehari sebelum itu.

Pelajar Tahun Tiga jurusan Perakaunan itu sebelum ini sudah dua kali dibicarakan di mahkamah disiplin peringkat UiTM atas tuduhan menyebarkan risalah dan terlibat dengan gerakan reformasi. Pada Disember 1998, Ahmad Zaki dikenakan hukuman denda sebanyak RM200 dan pada Februari tahun lalu, beliau digantung pengajian selama dua tahun. Pada waktu itu, Ahmad Zaki merupakan Exco Pendidikan PKPIM.

Selepas Anwar ditahan pada 20 September 1998, dua pemimpin utama PKPIM turut ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama hampir 20 orang pemimpin politik, aktivis masyarakat dan rakan-rakan Anwar.

Ahmad Zaki kini turut aktif sebagai Setiausaha Majlis Pelajar Malaysia (MPM), sebuah gabungan tidak rasmi lapan kumpulan pelajar yang mewakili 300,000 penuntut institusi pengajian tinggi. Selain PKPIM, dua lagi gabungan terbesar MPM ialah Gagasan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) dan Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN).

**Nota Editor: Ikuti laporan lengkap kegiatan pelajar Ahmad Zaki, PKPIM dan tekanan politik yang dikenakan ke atasnya dalam edisi hujung minggu ini (Weekend Edition)


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS