Setiausaha Majlis Daerah Jasin letak jawatan
Setiausaha Majlis Daerah Jasin (MDJ), Abdul Manaf Jaffar yang diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi tahun lalu, telah meletakkan jawatan.
Setiausaha Majlis Daerah Jasin (MDJ), Abdul Manaf Jaffar yang diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi tahun lalu, telah meletakkan jawatan.
Abdul Manaf mengemukakan perletakan jawatan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Rusli Juharie petang tadi.
Menurut Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, perletakan jawatan Abdul Manaf, 47, itu, berikutan pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kuala Lumpur malam tadi.
"Saya telah menghantar laporan lengkap kepada Abdullah dan beliau menasihatkan Abdul Manaf tidak perlu pegang jawatan (Setiausaha MDJ) kerana telah diisytiharkan muflis. Kerajaan negeri akur dengan keputusan Perdana Menteri itu," katanya.
Mohd Ali memberitahu pemberita demikian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Seri Negeri hari ini.
Mesyuarat exco
Isnin lepas, Mohd Ali dilaporkan berkata pelantikan Abdul Manaf sebelum ini berdasarkan kepada surat Jabatan Pemegang Harta yang membolehkannya memegang jawatan dengan syarat dia tidak menguruskan hal kewangan.
Abdul Manaf diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi pada November 2002 dan berasaskan surat yang diterima daripada jabatan berkenaan pada 20 Disember 2002.
Beliau telah dilantik sebagai Setiausaha MDJ pada 2 Januari 2000 untuk tempoh dua tahun dan perkhidmatannya disambung untuk tempoh dua tahun lagi sehingga Disember tahun depan.
Mesyuarat Exco hari ini juga turut dimaklumkan mengenai perletakan jawatan Abdul Manaf dan isu itu sudah selesai, katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.