Adnan arah semua bendera pembangkang diturunkan
Kerajaan Pahang akan mengarahkan semua majlis perbandaran dan majlis daerah di negeri itu supaya menurunkan bendera parti pembangkang, termasuk yang dipasang di kawasan yang dibenarkan sebelum ini.
Kerajaan Pahang akan mengarahkan semua majlis perbandaran dan majlis daerah di negeri itu supaya menurunkan bendera parti pembangkang, termasuk yang dipasang di kawasan yang dibenarkan sebelum ini.
Tindakan tersebut merupakan susulan kepada tindakan Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) menurunkan semua bendera Umno dan Barisan Nasional (BN) ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Terengganu minggu lalu.
Sambil menyifatkan tindakan MPKT yang bertindak biadab, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata beliau sudah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahim Abdul supaya memanggil semua Yang di-Pertua Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran untuk menghadiri mesyuarat khas berhubung perkara itu.
Bernama
memetik beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Kuantan hari ini."Ini ialah tindakan kerajaan negeri yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Kita akan bincang mengenai tugas penguatkuasaan ekoran kejadian di Terengganu dan tindakan akan diambil berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang sedia ada," katanya.
Ahad lalu, MPKT menurunkan kira-kira 3,000 bendera BN dan Umno yang dipasang sepanjang jalan utama di Kuala Terengganu sempena lawatan rasmi pertama Abdullah ke Terengganu.
Ikut rentak
Sambil menafikannya sebagai tindakan membalas dendam, Adnan berkata kerajaan negeri hanya "menari mengikut rentak" pembangkang di negeri jiran.
"Tidak timbul isu membalas balik atau tidak. Selama ini kita hanya menutup sebelah mata dan berlembut dengan mereka, biarkan mereka pasang bendera di tempat yang mereka suka, tetapi perbuatan mereka membuang bendera parti yang menyokong kerajaan, ia sudah melampaui batas.
"Datuk Seri Abdullah melawat Terengganu sebagai perdana menteri, dan mereka harus menghormati beliau sebagai pemimpin tertinggi negara dan kedatangannya harus dialu-alukan dan kita harus bertindak tanpa memikirkan sentimen politik yang kita anuti," tegasnya.
Menurutnya lagi, parti pembangkang juga tidak akan dibenarkan lagi menggantung bendera atau kain rentang mereka selepas ini walaupun telah meminta kebenaran mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Sudah tiba masa kita berkeras sebelum mereka bertindak lebih jauh," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.