Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Noor Hamat menjelaskan beliau tidak bertindak kasar atau meminta pihak media jangan melaporkan tindakan polis mengheret keluar Ahli Undangan Negeri (Adun) DAP Teng Chang Khim dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam.

Sebaliknya, kata Mohd Noor, beliau hanya meminta pemberita supaya tidak cuba menemuramah Teng dalam kawasan dewan, tetapi boleh berbuat demikian di kawasan lobi.

"Saya ada sebab tersendiri untuk berbuat demikian, terutamanya dalam memastikan keadaan tidak bertambah kecoh ketika itu," katanya.

Bernama

memetik beliau sebagai berkata demikian ketika meminta mengulas tindakannya dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC II Abu Bakar Mustafa yang bergegas ke dewan itu pada kira-kira jam 3.20 petang ketika mesyuarat Ketiga penggal kelima DUN Selangor semalam.

Akhbar-akhbar hari ini melaporkan Mohd Noor cuba menghalang wartawan daripada menemubual Teng sambil berkata: "Jangan lebih-lebih. Saya sudah cakap tak boleh. Nanti saya halau kamu keluar."

Pertengkaran

Menurut Mohd Noor, beliau mendapat panggilan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Aziz Mohd Yusof berhubung kekecohan di dewan ekoran keengganan Teng keluar setelah digantung kerana melanggar peraturan dewan semasa membahaskan belanjawan negeri 2004.

Teng dikatakan berkeras untuk meneruskan usulnya bagi mengurangkan peruntukan bagi pejabat Menteri Besar tetapi Speaker Dewan, Datuk Seri Onn Ismail menolaknya kerana usul itu perlu dikemukakan dua hari lebih awal untuk dipertimbangkan.

Onn kemudiannya meminta Teng duduk tetapi Adun DAP itu berkeras untuk meneruskan usulnya, sehingga sidang dewan menjadi kecoh kerana berlakunya pertengkaran di antara pembangkang dan penyokong BN.

"Saya menghubungi OCPD Shah Alam yang ketika itu sedang bermesyuarat dengan pegawainya dan saya membuat keputusan ke dewan bersama Abu Bakar untuk mengawal keadaan," jelas Mohd Noor.

Menurutnya, beliau mempunyai kuasa selaku ketua polis negeri itu untuk bertindak demikian dan soal penyalahgunaan kuasa tidak timbul dalam tindakannya itu.

Teng yang mengadakan sidang media selepas kejadian itu berkata Speaker dewan tidak mematuhi prosedur ketika menggantungnya daripada menghadiri persidangan dan kecewa kerana pihak polis turut menyalahgunakan kuasa dalam mengheret beliau keluar dewan.