Isu aurat tidak perlu libatkan bukan Islam
Dewan Muslimat PAS hari ini meluahkan rasa kesal apabila perbincangan tentang isu aurat wanita Islam yang asalnya dibangkikan oleh Menteri Besar Kelantan turut dibincangkan oleh orang bukan Islam.
"Kami cuma kesal (apabila) orang-orang bukan islam diheret sama ke dalam isu agama Islam," kata Ketua Penerangan pergerakan itu, Dr Mariah Mahmud, sebagai menjawab sebuah rencana dalam Utusan Malaysia semalam.
"Mereka (bukan Islam) yang tidak tahu hujung pangkal isu yang dibicarakan di dalam ceramah mingguannya diminta memberi kenyataan terhadap beberapa potong ayat Tuan Guru Nik Aziz (Nik Mat) yang dikeluarkan daripada konteks asalnya."
Awal minggu ini, Naib Ketua Wanita DAP, Betty Chew turut mengulas kenyataan Nik Aziz bahawa "wanita punca gejala sosial" itu ketika menyampaikan kuliah agama mingguan Jumaat lalu.
"Kenyataan seperti itu menunjukkan sikap anti-wanita dan menyebabkan kemarahan wanita yang melihat ia (pendapat itu) sebagai usaha membenarkan tindakan jenayah dan tidak mengikut undang-undang kaum lelaki terhadap wanita," kata Betty.
Sementara seorang lagi wakil rakyat DAP, Teresa Kok, berkata kebanyakan wanita yang menjadi mangsa gangguan seks dan rogol juga terdiri daripada mereka yang berpakaian sopan.
Timbalan Menteri Kebudayaan, Seni dan Pelancongan Datuk Ng Yen Yen berkata "jika Nik Aziz juga tidak boleh mengawal dirinya, tentu pendidikan yang beliau terima mempunyai kesilapan tertentu."
Dalam kuliah tersebut, Nik Aziz[#1] dilaporkan berkata[/#], "Orang jantan (lelaki) mana, kalau tengok orang betina (perempuan) yang berpakaian nampak pusat, tidak naik syok (ghairah). Tok Lebai tua pun kalau tengok pusat orang perempuan demikian naik syok juga. Orang panggil, iman Pak Lebai pun boleh bergoyang."
Isu lapuk
Muslimat PAS menganggap isu yang menjadi kontroversi itu sebagai "angkara Umno dan Barisan Nasional memainkan isu lapuk" untuk mengalihkan pandangan orang ramai daripada isu negara yang lebih penting.
Mariah mengatakan bahawa kenyataan Nik Aziz itu dikeluarkan untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai seorang guru agama di depan masyarakat Islam.
"Beliau berkata sedemikian sebagai seorang tuan guru," katanya.
"Beliau tidak boleh hanya mengatakan 'jauhkan diri daripada maksiat' tetapi tidak memberikan contoh maksiat yang sedia ada."
Kenyataan Mariah itu bagi menjawab rencana bertajuk "Prejudis PAS pada wanita" yang ditulis oleh Mazri Muhammad.
Bagaimanapun, Mariah berkata kenyataan Nik Aziz sering diberikan perhatian dan kerap dipetik di luar konteks perbincangan.
"Ini bukanlah kali pertama kenyataan beliau diputar-belitkan. Selagi persepsi dan tanggapan itu yang ada, sebanyak mana pembelaan dan penafian (terhadap Nik Aziz) tetap tidak akan berkesan," katanya lagi, sambil menyifatkan Mursyidul Am PAS itu seumpama "bapa mereka (Muslimat) sendiri."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.