Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan menurunkan bendera parti pembangkang sebagai perbuatan orang yang berfikiran sempit fahamannya dan tidak `gentleman'.

Oleh itu, katanya, Kelantan tidak akan mengikut Pahang dan Terengganu menurunkan bendera parti pembangkang di kawasan Majlis Perbandaran Kota Baharu dan majlis-majlis daerah di negeri itu.

Bernama

melaporkan, semalam Pulau Pinang juga turut mengeluarkan arahan supaya bendera semua parti politik di tempat-tempat awam diturunkan.

"Orang politik orang gentleman," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Pejabat Pas di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz mengulas tindakan kerajaan Pahang baru-baru ini yang mengarahkan semua majlis perbandaran dan majlis daerah di negeri itu supaya menurunkan bendera parti pembangkang termasuk di kawasan awam yang dibenarkan sebelum ini.

Kebenaran

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob mengeluarkan arahan itu selepas Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) bertindak menurunkan semua bendera Umno dan Barisan Nasional (BN) ketika lawatan sulung Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri ke negeri itu minggu lalu.

Nik Aziz berkata tidak ada halangan untuk Umno dan BN memasang bendera mereka di Kelantan dan orang ramai boleh menyaksikan begitu banyak bendera parti dipasang di merata tempat.

Rakyat menerima kepimpinan seseorang adalah kerana kebenaran bukan atas ugutan, tambahnya.

Ketika menyampaikan kuliah berkenaan, Nik Aziz berkata umat Islam tidak boleh sewenang-wenangnya menolak Dokumen Negara Islam yang dilancarkan PAS baru-baru ini kerana ia mengandungi ayat-ayat al-Quran sebagai hujahnya.

Beliau berkata Umno sepatutnya mengkaji terlebih dahulu sebelum menolak dan mengeluarkan kenyataan berhubung dokumen itu.