BN: Ulangtahun 700 tahun Batu Bersurat gimik kerajaan PAS
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Barisan Nasional (BN) mendakwa bahawa bekas minuman arak ditemui di tapak perasmian sambutan memperingati 700 tahun Batu Bersurat di Hulu Terengganu yang menjadi kesan sejarah mengenai kedatangan Islam ke negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Barisan Nasional (BN) mendakwa bahawa bekas minuman arak ditemui di tapak perasmian sambutan memperingati 700 tahun Batu Bersurat di Hulu Terengganu yang menjadi kesan sejarah mengenai kedatangan Islam ke negara ini.
"Saya tidak mahu kerajaan negeri buat sambutan memperingati 700 tahun Batu Bersurat hanya sebagai gimik kononnya nak tunjuk mereka adalah kerajaan Islam sedangkan ia tidak membawa apa-apa makna pun, termasuk kes botol arak itu," kata Tengku Putera Tengku Awang (BN-Telemong) di sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini
Menteri Besar, Datuk Seri Abdul Hadi pula dengan sinis mengucapkan terima kasih kepada Tengku Putera kerana memberi kepercayaan kepada kerajaan negeri dan mendakwa beliau (Tengku Putera) tidak percaya kepada kerajaan dahulu (Barisan Nasional).
Menurut laporan Bernama , jawapan itu menyebabkan Tengku Putera bangun mencelah bahawa apa yang disebutkan Abdul Hadi adalah tidak bertanggungjawab.
Sebelum itu, Tengku Putera bertanya sama ada kerajaan negeri sedar terdapat kesan atau bekas minuman arak di tapak perasmian itu.
Abdul Hadi menjawab ia mungkin dilakukan oleh orang politik tertentu.
Tengku Putra yang kurang senang dengan jawapan tersebut menegaskan adalah agak malang "kalau macam inilah mulut seorang menteri besar yang didakwa sebagai pemimpin negeri yang hendak melaksanakan Islam".
Laporan rasmi
"Saya tanya kerajaan negeri sedar atau tidak mengenai perkara itu, jawab sahajalah. Itu saja dan jangan nak tuduh orang lain pula," tambah Tengku Putera.
Abdul Hadi kemudiannya meminta Tengku Putera membuat laporan rasmi mengenai perkara itu dan bukannya memberitahunya di dalam Dewan Undangan Negeri.
"Yang Berhormat kalau ada tanggungjawab, perlu lapor kepada pihak berkenaan segera dan bukan di sini. Yang Berhormat jangan jadi syaitan bisu, kenapa tak bagi tahu," kata Abdul Hadi.
Tengku Putera menjawab yang beliau sudahpun melaporkan kepada Jabatan Agama Islam Daerah Hulu Terengganu tetapi tiada tindakan diambil.
Speaker dewan, Datuk Hussain Awang kemudiannya campurtangan sambil meminta Tengku Putera memberi laluan kepada menteri besar untuk meneruskan jawapannya.
Abdul Hadi berkata jika tiada tindakan yang diambil, Tengku Putera boleh membuat laporan kepada pihak atasan yang lain.
Menurut Tengku Putera, beliau telah menunaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat dengan melaporkan kejadian berkenaan kepada Jabatan Agama Islam daerah Hulu Terengganu.
Kos sambutan
"Dan sebagai wakil rakyat, dalam dewan ini saya laporkan kepada Yang Amat Berhormat mengenainya dan saya harap akan ada tindakan diambil," tambahnya
Bagaimanapun, Speaker dewan tidak membenarkan Tengku Putera meneruskan soalannya.
Sementara itu, ketika menjawab soalan asal Rosol Wahid (BN-Ajil) mengenai perbelanjaan bagi sambutan itu, Abdul Hadi berkata, kosnya adalah RM93,500 tetapi beliau tidak menjawab soalan tambahan Rosol sama ada perbelanjaan itu diambil daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, pihaknya sedia bermuzakarah dengan sesiapa sahaja, termasuk Sheikhul Al Azhar, bahawa Malaysia bukan negara Islam tetapi hanyalah negara umat Islam.
Sehubungan itu, beliau yang juga presiden PAS berkata ini sangat berbeza dengan apa yang dilaksanakan di Terengganu yang mengharamkan tempat maksiat dan penjualan arak.
Beliau juga mempertikaikan kewibawaan Sheikhul Al Azhar, yang dijemput oleh kerajaan persekutuan, yang mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam.
Catat keuntungan
Menjawab soalan Rosol Wahid (BN-Ajil) pada sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini, beliau berkata Sheikhul Al Azhar adalah jawatan yang dilantik oleh sebuah kerajaan negara berkenaan.
Ketika ditanya Rosol kenapa Malaysia didakwa bukan negara Islam dan Terengganu pula didakwa negeri Islam sedangkan Terengganu sendiri berada di dalam Malaysia, Abdul Hadi berkata: "Malaysia hanyalah negara umat Islam."
Dewan juga diberitahu bahawa kerajaan negeri melalui anak syarikatnya TDM Berhad telah memajakkan sebuah hotel di Mekah dengan kos RM3.5 juta setahun.
Menjawab soalan Datuk Abu Bakar Ali (BN-Kemasik), Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Negeri, Datuk Harun Taib berkata majlis perasmian hotel berkenaan diadakan baru-baru ini.
Menjawab soalan tambahan Abu Bakar mengenai kos lawatan ke majlis perasmian itu, beliau berkata ianya belum dikira tetapi empat anggota exco kerajaan negeri tidak hadir.
Dewan juga diberitahu anak-anak syarikat kerajaan negeri, Golden Pharos Bhd mengalami kerugian RM5.6 juta, manakala Epic Berhad dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd masing-masing mencatatkan keuntungan sebanyak RM14.4 juta dan RM2.7 juta.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Mustafa Ali memberitahu Shaharizukirnain Abdul Kadir (PAS-Jabi) bahawa Epic Berhad telah mempelbagaikan aktivitinya termasuk sektor perumahan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.