Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azhar berjaya tangguh perintah kosong premis
Diterbitkan:  Oct 27, 2011 5:42 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim hari ini berjaya dalam permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi supaya beliau mengosongkan premis Pusat Komuniti ADUN Penaga, kawasan yang diwakilinya.

    

NONE Hakim Datuk Rohana Yusof membenarkan permohonan Azhar ( kanan ) di dalam kamar di Kuala Lumpur dengan dihadiri peguam Mohd Zaharuddin Harun yang mewakili Azhar, dan peguam Jenine Gill, mewakili Pegawai Daerah Seberang Perai Utara dan kerajaan negeri Pulau Pinang, yang kedua-duanya dinamakan sebagai responden.

    

Mohd Zaharuddin memberitahu pemberita bahawa hakim membenarkan penangguhan itu sehingga selesai rayuan di Mahkamah Rayuan.

    

Pada 26 Julai lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Azhar untuk membatalkan arahan kerajaan negeri supaya beliau mengosongkan premis itu.

    

Beliau memohon mahkamah mengisytiharkan arahan pegawai daerah Seberang Perai Utara melalui surat bertarikh 8 November tahun lepas, yang mengarahkan beliau mengosongkan premis berkenaan pada atau sebelum 19 November lepas, adalah batal dan tidak sah.

    

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Azhar berkata pusat komuniti itu yang mula beroperasi sekitar tahun 2006 semasa kerajaan negeri itu diperintah oleh BN, dibina khas untuk pelbagai aktiviti melibatkan kepentingan dan kebajikan penduduk di Penaga.

Beliau berkata sejak tampuk pemerintahan kerajaan negeri dipegang oleh DAP, operasi pusat komuniti itu berjalan seperti biasa sehingga 18 November lepas, iaitu setelah arahan penyerahan kunci dibuat oleh pegawai daerah berkenaan.

    

Azhar berkata beliau menghantar surat kepada pegawai daerah berkenaan pada 16 November 2010 meminta arahan berkenaan disemak semula, namun sehingga kini kedua-dua responden tidak memberi sebarang jawapan.

    

Katanya, beliau belum menyerahkan kunci premis berkenaan kerana berharap Pegawai Daerah menimbangkan permohonannya untuk menyemak semula arahan itu.

Azhar juga mendakwa arahan itu bermotifkan politik semata-mata kerana beliau adalah ketua pembangkang di DUN Pulau Pinang.

    

- Bernama

ADS