Umno telah bertemu semalam bagi membincangkan terlebih awal draf pindaan perlembagaannya. Ratusan pemimpin Umno peringkat bahagian mendengar taklimat daripada Timbalan Presiden parti, Datuk Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau menjelaskan mengapa pindaan itu perlu dilakukan supaya semua perwakilan ke perhimpunan khas pada 18 November depan dapat memberikan kelulusan sebulat suara kepada pindaan tersebut.

Antara pindaan mendadak yang dicadangkan ialah pemilihan pucuk pimpinan Umno, yakni pemilihan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan saf kepimpinan Pemuda dan Wanita akan dibuat dalam tempoh lima tahun sekali, mengikut penggal pilihan raya umum.

Pindaan lain termasuklah melakukan pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian serentak, bukannya pada tahun yang berasingan sebagaimana sekarang. Draf pindaan juga mencadangkan supaya kuasa memilih ahli MT diperluaskan kepada ahli-ahli parti di cawangan, bukan hanya pada perwakilan yang menghadiri perhimpunan parti, dan cadangan penubuhan Puteri Umno.

Cadangan pindaan ini telah menerima pelbagai reaksi daripada perwakilan yang menghadiri mesyuarat khas itu, terutamanya tempoh pemilihan pucuk pimpinan.

Beberapa orang ketua bahagian dengan lantang membantah tempoh lima tahun itu. Mereka berpendapat, tempoh itu terlalu panjang dan akan mendatangkan keburukan kepada parti kerana ia menyebabkan pemegang jawatan menjadi selesa dan asyik dengan pangkat dan kuasa yang dimiliki.

"Bila seseorang pemegang jawatan menjadi selesa, mereka tidak akan mempunyai desakan untuk bekerja kuat dan cepat. Mereka juga akan lalai kerana tahu jawatan mereka tidak dapat digugat sekurang-kurangnya selama lima tahun," cerita seorang perwakilan yang meghadiri majlis itu.

Seorang ahli MT yang ditemui pula memberitahu, pucuk pimpinan parti perlu mengambil kira bantahan dan pandangan para perwakilan. Mungkin pindaan-pindaan yang dicadangkan itu perlu dibincangkan dengan lebih lanjut, bukannya dibuat secara terburu-buru dalam tempoh tidak sampai empat bulan seperti sekarang.

"Beberapa pindaan terutamanya yang berhubung dengan tempoh pemilihan wajar digugurkan dulu bagi memberi peluang kepada ahli-ahli parti untuk membincangkannya. Ia sepatutnya diserahkan kepada ahli-ahli di peringkat cawangan untuk menilai dan menerimanya sebelum diputuskan oleh para perwakilan.

Perubahan selepas Anwar

"Saya lihat sekarang parti begitu mudah melakukan pindan terhadap perlembagaan dan peraturan untuk disesuaikan dengan kehendak semasa dan selera masing-masing. Saya takut kalau trend ini berterusan, perlembagaan Umno akan sentiasa berubah mengikut cita rasa individu yang mengetuainya," kata seorang anggota MT.

Beliau menambah, kegemaran "mengubah peraturan perlawanan" ini tidak pernah berlaku dalam Umno sebelum ini. Ia menjadi semakin galak sejak pemecatan Timbalan Presiden Umno dua tahun lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Nampak seolah-olah ada pihak yang mahu memelihara kepentingan sendiri sehingga tidak mempedulikan lagi tradisi, identiti dan maruah parti," tegasnya.

Umno sejak September 1998 telah melakukan beberapa perubahan pada peraturan dan perlembagaan, terutama yang menyentuh soal pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Dalam pemilihan Mei lalu, kedua-dua jawatan tertinggi itu "dinasihatkan" supaya jangan dipertandingkan.

Syarat untuk pencalonan bagi jawatan-jawatan tertinggi parti juga diperketatkan dalam pemilihan yang lalu dengan penetapan kuota pencalonan minima bagi melayakkan seseorang itu bertanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden atau Naib Presiden.

Seorang ketua bahagian Umno dari Kedah pula berpendapat, beberapa perkara yang akan dipinda lebih menjurus kepada usaha untuk memelihara kepentingan individu tertentu.

"Pemilihan dalam tempoh lima tahun sekali tidak dinafikan akan mengurangkan politicking dalam parti tetapi dalam suasaan semasa, ia memberi advantage kepada Pak Lah. Kita tidak tahu sama ada ia sengaja dirancang begitu rupa oleh orang-orang Pak Lah bagi memberi beliau masa yang lebih panjang untuk mengukuhkan kedudukannya sebelum satu pemilihan baru dilakukan," hujah beliau.

Jika perhimpunan khas meluluskan semua pindaan yang dicadangkan itu, ia bermakna pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti akan diadakan sekali lagi selepas tahun 2004. Pemilihan terbaru diadakan pada Mei lalu. Di bawah perlembagaan parti yang ada sekarang, pemilihan sesi depan akan didakan pada 2003 (tiga tahun sekali).

"Pindaan yang dicadangkan itu jelas akan memberi kelebihan kepada Timbalan Presiden Umno itu. Kalaulah beliau menjadi Perdana Menteri sebelum pemilihan baru pucuk pimpinan parti diadakan, tentulah beliau akan mempunyai lebih kuasa dan masa untuk mengukuhkan kedudukannya untuk menduduki kerusi Presiden parti."

Peluang kepada Pak Lah

Tempoh yang lebih lama ini akan memberi peluang kepada Pak Lah untuk mengimbangi pengaruh Datuk Najib Tun Razak yang mendapat sokongan kuat dari grassroot (akar umbi) dalam pemilihan yang lalu," jelas beliau lagi.

Ketua bahagian itu menambah, rata-rata para penyokong Najib tidak bersetuju dengan beberapa perkara dalam pindaan ini tetapi diragui sejauh mana mereka berani menentangnya.

"Saya rasa mereka akan akur pada cadangan pindaan ini kerana kalau mereka hendak membantah, tentu mereka telah melakukannya sekarang. Kalau tunggu hingga ke perhimpunan khas baru hendak bantah, saya kira sudah terlambat. Perhimpunan khas ini tidak lebih daripada satu formaliti saja," ujar beliau.

Nampaknya peluang bagi Najib ataupun Tengku Razaleigh untuk mencabar Pak Lah bagi jawatan Presiden parti dalam pemilihan akan datang makin tertutup bila pindaan diterima pakai.

Kalau Pak Lah sudah dinobatkan sebagai Perdana Menteri (ada pihak meraguinya kerana Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad belum menunjukkan tanda-tanda untuk bersara), sukar bagi mana-mana pemimpin Umno untuk mencabarnya kerana pemimpin-pemimpin Umno sekarang mempunyai kecenderungan untuk menurut secara membuta-tuli arahan ketuanya.

Sementara itu seorang ketua bahagian dari Melaka pula berpendapat, pindaan perlembagaan parti ini perlu dilakukan segera untuk menunjukkan kepada umum bahawa Umno serius untuk melakukan reformasi dalaman.

Katanya, orang Melayu muak melihat gelagat pemimpin Umno yang asyik berpolitik, oleh itu perubahan tempoh pemilihan daripada tiga tahun ke lima tahun perlu dibuat untuk mengurangkan politicking.

"Pindaan ini perlu untuk membasmi politik wang. Apabila kuasa mengundi diturunkan kepada 30,000 hingga 50,000 ahli di peringkat cawangan, berapa banyak wang yang mampu ditabur oleh seseorang calon MT?

"Apabila kita tidak membuang masa dengan politicking, lebih banyak tumpuan dapat diberikan kepada usaha memulihkan parti dan membela nasib orang Melayu," tegasnya.

Pro dan kontra terhadap pindaan perlembagaan ini jelas menunjukkan ahli-ahli parti itu mempunyai pandangan tersendiri yang perlu dihormati oleh pucuk pimpinannya. Presiden dan Timbalan Presiden perlu mengambil kira pandangan ahli-ahli di akar umbi dan bukannya "syok sendiri" dengan sokongan sebulat suara daripada anggota MT kerana yang akan menentukan hidup mati Umno dalam pilihan raya ialah ahli-ahlinya di pekan, kampung dan kawasan setinggan yang berselerak di seluruh negara.

Sokongan daripada MT serta keputusan sebulat suara 2,000 orang perwakilan yang menghadiri perhimpunan khas pada 18 November tidak semestinya mencerminkan kehendak ahli-ahli di peringkat akar umbi.

Oleh itu Umno perlu memastikan perubahan yang dibuat dalam perlembagaannya membawa perpaduan dan kekukuhan, bukannya makin melemahkan dan melebarkan perpecahan yang sedia wujud dalamnya.