Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PKR: AUKU tak relevan sepenuhnya
Diterbitkan:  Oct 31, 2011 1:41 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebagai tidak sah membuka ruang ke arah membuktikan akta itu tidak relevan seluruhnya, kata Pemuda PKR (AMK).

pkr congress 281110 shamsul iskandar Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin ( kanan ) berkata, sekysen itu merupakan perangkap yang sengaja dipasang oleh pemerintah untuk mengekang suara mahasiswa.

"AMK melihat keputusan ini harus memberikan titik noktah kepada hayat AUKU agar ia dimansuhkan sepenuhnya, sebagaimana yang diperjuangkan secara istikamah oleh gerakan mahasiswa zaman berzaman," katanya.

Sambil menyifatkan bahawa "bisa" AUKU terletak pada seksyen itu, Shamsul berkata, AMK menggesa kerajaan mempertimbangkan secara serius untuk memansuhkan AUKU selaras dengan "lantunan retorika" agenda transformasi politik perdana menteri.

"Sekalung tahniah buat UKM4 (siswa yang membawa kes ini ke mahkamah). Ayuh terus desak AUKU dimansuhkan demi kelangsungan suara mahasiswa sebagai jurubicara masyarakat!" katanya.

Shamsul juga menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini sebagai tamparan kepada pemerintah Umno dan BN yang disifatkannya bermati-matian mempertahankan AUKU "untuk mengekang mahasiswa".

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Seksyen 15(5) akta itu yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara.

Mahkamah Tinggi pada 28 September menolak saman pemula yang dikemukakan empat pelajar jurusan sains politik UKM bagi mencabar tindakan tatatertib terhadap mereka yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil pada April lalu.

ADS