Muktamat: Tiada lagi kempen DAP Tanjong 4' di Pulau Pinang
DAP akan 'berpijak di bumi nyata' dalam membuat persiapannya untuk menghadapi pilihanraya umum akan datangnya, khususnya di Pulau Pinang.
DAP akan 'berpijak di bumi nyata' dalam membuat persiapannya untuk menghadapi pilihanraya umum akan datangnya, khususnya di Pulau Pinang.
Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pihaknya akan belajar daripada kesilapan masa lepas dan tidak lagi akan melancarkan kempen 'Tanjong' untuk menawan Pulau Pinang.
Menurut Bernama , DAP melancarkan kempen 'Tanjong' untuk menawan negeri itu dalam pilihanraya 1995 dan sekali lagi pada 1999, selepas parti itu mencapai kemenangan agak besar dalam pilihanraya 1986 dengan meraih 10 daripada 33 kerusi negeri, dan 14 kerusi pada 1990.
Bagaimanapun, DAP mengalami kekalahan teruk dalam kedua-dua pilihanraya itu dan menggerhanakan zaman kegemilangan parti itu yang hampir berjaya menawan Pulau Pinang
Sebaliknya, kata Chow, DAP akan mengambil pendekatan "lebih merendah diri dan berpijak di bumi nyata" dalam menghadapi pilihanraya umum kali ini.
"Kalau kami berkempen sama seperti itu, kami sedar itu akan memakan diri sendiri," katanya sambil menambah kempen seumpama itu hanya akan membuat pengundi tidak percaya dan hilang keyakinan kepada DAP.
"Kalau kami katakan kami mahu tawan Pulau Pinang, itu kenyataan yang tidak berwibawa. Orang tidak akan percaya kepada kenyataan seperti itu kerana mereka boleh menilai di mana kekuatan DAP," katanya.
Kempen Rentap
Chow, yang juga Ahli Parlimen Tanjung berkata, kekuatan DAP telah merosot selepas kalah teruk dalam dua pilihanraya umum lalu, serta akibat daripada krisis dalaman.
Oleh itu, katanya, DAP sekadar mahu menambah sedikit bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri daripada hanya satu yang diwakili di Batu Lanchang oleh Law Heng Kiang sekarang.
"DAP akan mengetepikan hasrat untuk menawan Pulau Pinang," katanya.
Pendekatan DAP itu berbeza dengan Parti Keadilan Nasional, yang telah melancarkan kempen "Rentap" awal tahun ini untuk menawan Pulau Pinang dengan bantuan rakan sekutunya PAS.
DAP, Keadilan dan PAS masing-masing hanya memenangi satu daripada 33 kerusi negeri dalam pilihanraya 1999.
"Kami tidak mampu lagi tewas teruk kepada BN untuk kali ketiga," kata Chow. Dalam pilihanraya 1995, DAP hanya menang satu kerusi negeri sahaja.
Chow berkata apa yang boleh dilakukan oleh DAP sekarang ialah memulihkan semula dan membina kekuatan parti serta imej parti itu.
Sasaran lima kerusi
Walaupun sukar untuk diramal kawasan yang boleh dimenanginya dalam pilihanraya kali ini, Chow yakin sekiranya DAP berjaya mendapat tambahan kerusi, ia merupakan satu permulaan yang baik dalam proses pemulihan parti itu.
Bagaimanapun, katanya, parti itu mungkin memerlukan masa dua atau tiga penggal lagi untuk kembali kukuh seperti di masa lalu.
"Kalau dapat lima hingga lapan kerusi negeri, ia merupakan keputusan yang menakjubkan," katanya.
Menurut Chow, analisis mengenai kekalahan DAP dalam dua pilihanraya lalu menunjukkan parti itu perlu lebih banyak melibatkan orang ramai, terutama di peringkat akar umbi dalam programnya anjurannya.
"Peluang bagi DAP menambah bilangan kerusi memang ada sekiranya kami menggunakan pendekatan, strategi dan mesej yang bersesuaian dengan keadaan semasa dan boleh meyakinkan pengundi.
"Kami perlu fikir sama ada masih wujud sokongan pengundi kepada pemimpin-pemimpin veteran ataupun menggantikan pemimpin veteran dengan pemimpin muda terutamanya bagi kerusi Parlimen," kata Chow.
Dua orang kuat DAP, Lim Kit Siang dan Karpal Singh, adalah antara calon-calon parti itu yang tewas di Pulau Pinang pada pilihanraya lalu.
"Apabila (Karpal) tewas di Jelutong yang merupakan kerusi tradisional DAP selama lima penggal berturut-turut, kami sedar kami tidak boleh menganggap sesuatu kubu kami itu sebagai milik kami yang kekal," kata Chow.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.