Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PERKASA: Seksualiti Merdeka ancam keselamatan negara
Diterbitkan:  Nov 1, 2011 1:27 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Program Seksualiti Merdeka 2011 yang memperjuangkan kesaksamaan gender untuk golongan homoseksual dan lesbian boleh mengancam keselamatan negara, kata presiden kumpulan pendesak Melayu, PERKASA, Datuk Ibrahim Ali.

"Jika diteruskan juga, saya bimbang ia akan menagncam keselamatan negara.

NONE “Mereka tahu isu ini sensitif dan pasti ada tindak balas tetapi mereka teruskan juga, oleh itu saya minta penganjur guna kewarasan,” katanya dipetik akhbar Sinar Harian hari ini.

Menurut Ibrahim, walaupun program itu berkaitan hak asasi manusia, penganjur kurang sopan kerana memperkenalkan kesamarataan sedangkan majoriti rakyat negara ini beragama Islam.

Katanya, program Seksualiti Merdeka itu perlu dibatalkan kerana kebebasan tetap ada batasnya dan penganjur perlu menghormati sensitiviti agama demi menjaga keselamatan negara.

"Kalau mereka membatalkan program ini, kamu (PERKASA) ucapkan terima kasih kerana kami pun sebenarnya tidak mahu bergaduh,” katanya dipetik akhbar itu lagi.

Mengenai tindakan PERKASA seterusnya, Ibrahim berkata keputusan akan dibuat oleh mesyuarat tertinggi pertubuhan itu.

NONE Seksualiti Merdeka adalah festival tahunan yang meraikan hak asasi manusia rakyat yang terdiri daripada pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina. Ia dianjurkan oleh sekumpulan gabungan longgar NGO, artis, aktivis dan individu sejak 2008.

Program festival itu, termasuk forum, ceramah, bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan. Ia akan berlangsung dari 9 hingga 13 November dan dijangka dirasmikan oleh Ketua BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

ADS