Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khaled: Keputusan rayu kes AUKU dibawa ke Kabinet
Diterbitkan:  Nov 1, 2011 2:16 PM
Dikemaskini: 6:19 AM

Keputusan Mahkamah Rayuan berhubung peruntukan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971, akan dibawa ke Kabinet sebelum memutuskan sama ada perlu atau tidak kes itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

khaled nordin Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata perbincangan teliti akan dibuat di peringkat kementerian, sebelum ia dibawa ke mesyuarat Kabinet, secepat mungkin.

"Kita menghormati keputusan mahkamah tetapi dalam proses undang-undang itu kita percaya, ada satu lagi peluang, kita akan berbincang sama ada perlu merayu keputusan itu atau tidak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang hari ini.

Mahkamah Rayuan semalam memutuskan Seksyen 15 (5)(a) AUKU yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Wira Low Hop Bing memutuskan seksyen tersebut dalam AUKU itu tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata perlu difahami mengapa peruntukan seksyen itu dimasukkan dalam AUKU yang tidak membenarkan pelajar menjadi anggota mana-mana parti politik.

"Saya tekankan dari sudut pendidikan dalam Perlembagaan membenarkan untuk maksud pendidikan perlu ada sekatan, jadi ini perlu diberi penekanan kerana sudah menjadi matlamat institut pengajian tinggi, iaitu membina minda dan keupayaan berfikir bagi pelajar," katanya.

Beliau berkata, pendidikan bukan semata-mata soal kebebasan untuk membuat pilihan, bebas memilih, bebas berpersatuan, berdasarkan itu Perlembagaan membenarkan bagi maksud pendidikan, kebebasan itu disekat.

"Ada orang kata kalau menyertai parti politik akan menerbitkan keintelektualan di kalangan pelajar, tetapi kita lihat ramai pelajar tidak perlu menyertai parti politik pun untuk capai tahap itu," katanya.

Disebabkan itu, beliau berkata hasil perbincangan dengan tenaga pendidik, kementerian merumuskan perlunya seksyen tersebut.

"Tetapi jika kita mengutamakan berpersatuan, tidak memikirkan soal pendidikan, kalau itu yang dikehendaki saya tidak ada masalah," katanya.

- Bernama

ADS