Pelajar bergurau rampas pesawat AirAsia ditahan
Penerbangan sebuah pesawat milik AirAsia dari Kuching ke Johor terpaksa ditangguhkan selama satu jam berikutan gurauan seorang pemuda berusia 19 tahun yang hendak merampas pesawat tersebut.
Penerbangan sebuah pesawat milik AirAsia dari Kuching ke Johor terpaksa ditangguhkan selama satu jam berikutan gurauan seorang pemuda berusia 19 tahun yang hendak merampas pesawat tersebut.
Menurut laporan Bernama , penerbangan AK601 tersebut sepatutnya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada jam 1.10 petang ini ke Johor
Bagaimanapun, menurut Timbalan Ketua Polis Daerah (Jenayah) Supt Tan Soon Tiong, seorang pramugari terdengar gurauan pemuda tersebut ketika dia sedang berbual dengan emaknya di dalam pesawat.
Menurutnya, pramugari tersebut terdengar pemuda itu berkata "If no taxi when we arrive in Johor we hijack this plane with my two guns." (Jika tiada teksi apabila kita sampai ke Johor, kita rampas kapal terbang ini dengan dua pistol saya).
Selepas mendengar guruan tersebut, pramugari terbabit memaklumkannya kepada juruterbang dan seterusnya dilaporkan kepada Pusat Kawalan, kata Tan.
Bertindak rasional
"Selepas menerima laporan tersebut kami terus ke KIA," katanya. Pemuda yang berasal dari Sarawak hendak pergi ke Singapura bersama ibu dan dua adiknya.
Menurut Tan, pemuda tersebut yang sedang menuntut di salah sebuah universiti di Australia kini ditahan untuk siasatan lanjut manakala ahli keluarganya telah dibebaskan.
Beliau mengingatkan para penumpang pesawat supaya bertindak lebih rasional dan jangan melakukan gurauan yang boleh menyebabkan penumpang lain menjadi cemas.
"Ini perkara yang serius dan kita minta semua pihak berkerjasama dalam hal ini,"katanya.
Sementara itu tinjauan Bernama di KIA mendapati insiden tersebut menyebabkan kebanyakan orang-ramai berada dalam keadaan cemas kerana menyangka ada kejadian buruk berlaku di dalam pesawat yang mendarat di KIA.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.