Perlantikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat beberapa agensi awam di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) boleh menimbulkan tanggapan yang ianya mempunyai agenda tertentu, kata Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak).

Pengerusinya, Mahfuz Omar berkata, Impak terkejut dengan perlantikan Dr Mahathir sebagai penasihat Petronas, Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan Lembaga Pembangunan Tioman (TDA).

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, perlantikan itu sekaligus melanjutkan penguasaan dan pengaruh bekas perdana menteri yang didakwanya mempunyai 'rekod tidak cemerlang ke atas agensi-agensi terbabit'.

"Ia dilihat bakal mewujudkan konflik antara pentadbiran era perdana menteri sekarang yang cuba membawa imej Islam, sifar rasuah dan telus, dengan pentadbiran era Tun Dr Mahathir yang sering dipersoalkan, terutama dalam kes penggunaan wang Petronas," tambahnya.

Menurut Mahfuz lagi, perlantikan itu seolah-olah menafikan keupayaan dan kewibawaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku perdana menteri untuk menentukan sendiri corak pembangunan dan pentadbiran agensi-agensi awam di bawah JPM.

"Gagasan dan dasar baru perdana menteri yang ditonjolkan dengan imejnya yang tersendiri pasti sukar diimplementasikan, memandangkan penguasaan berterusan bekas perdana menteri ke atas agensi-agensi terbabit," tambahnya.

Wang Petronas

Impak, tegas Mahfuz, mempersoalkan kewajaran perlantikan tersebut kerana mendakwa sepanjang pemerintahannya, Dr Mahathir menggunakan wang Petronas untuk menyelamat beberapa syarikat yang disalahurus hingga mengalami kerugian besar.

Menurutnya, ini termasuklah arahan supaya Petronas membeli 90 peratus saham Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) bernilai RM2 bilion pada 1984 kerana tidak mampu lagi berfungsi akibat skandal BMF.

"Petronas juga diarah menyuntik RM982.4 juta ke dalam BBMB setelah mengalami kerugian berterusan akibat salahlaku dan kelemahan yang tidak diambil tindakan oleh kerajaan pimpinan beliau," katanya.

Menurut Mahfuz lagi, pada 1996, Petronas diarah membeli saham Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam MISC bernilai RM1.8 bilion untuk menyelamatkan syarikat berkenaan yang mengalami kerugian besar di mana anak Dr Mahathir (Mirzan) mempunyai pegangan RM1.28 juta dalam MISC.

"Pada Ogos 1998, Petronas membayar RM981 juta untuk membeli 27.2 peratus saham Proton dalam DRB dengan nilai RM7 seunit, sedangkan nilai semasa saham tersebut hanyalah RM3.50 seunit," katanya.

Gejala buruk

Manakala pada 1991, kata Mahfuz, Petronas sekali lagi dipergunakan untuk menyuntik RM1.15 bilion ke dalam BBMB, dan selepas lapan tahun, Petronas menanggung kerugian sebanyak RM1.857 juta.

Mengenai Lada pula, Mahfuz berkata, selain menjadi pulau bebas cukai, Langkawi berkembang sebagai pusat minuman keras dan meningkatnya gejala sosial ke tahap yang kronik.

"Penyelewengan pengurusan kewangan juga didapati berlaku dalam Lada pada 1998 seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara. Kini gejala yang menimpa Langkawi sebagai syurga minuman keras, menjalar ke Pulau Tioman yang muncul sebagai pusat baru bagi kegiatan perjudian," tambahnya.

Mahfuz mendakwa, Langkawi yang diberi peruntukan besar dengan pembangunan hotel-hotel mewah, padang golf dan pusat pelancongan bertaraf dunia, telah mengalami kemerosotan paling teruk sehingga hotel-hotel mewah tidak dikunjungi lagi.

"Deretan kedai dan pusat perniagaan terbiar kosong, dengan jutawan segera bumiputra yang muncul akibat pengambilan tanah di peringkat awal pembangunan, kembali menjadi miskin. Jadi, tiada pengunjuran secara besar oleh kerajaan di Langkawi, maka kedudukannya hanyalah popular sebagai destinasi murah minuman keras," tambahnya.

Tindakan segera

Selain pembangunan hotel dan pusat pelancongan, Mahfuz menegaskan, penduduk Langkawi tidak mempunyai apa-apa untuk dibanggakan, baik dari sudut pembangunan kemanusiaan, perkembangan pendidikan, pertambahan sumber pendapatan, peningkatan kualiti hidup dan pegangan kepada nilai-nilai agama.

"Semuanya meluncur jatuh dan berundur ke belakang sepanjang pembangunan di bawah era Tun Dr Mahathir. Nasib yang sama juga telah melanda Pulau Tioman dan akan berterusan sekiranya Dr Mahathir masih menjadi penentu dalam usaha membangunkannya.

"Impak melihat tindakan melantik Tun Dr Mahathir ke jawatan tersebut sebagai tidak wajar dan merugikan rakyat negara ini," tambahnya.

Sebaliknya, kata beliau, Impak berpendapat bahawa satu kepimpinan baru dengan gagasan baru yang mampan, lebih telus dan bertanggungjawab perlu diberi ruang menentukan corak pentadbiran agensi-agensi terbabit.

"Justeru itu, Impak menggesa perdana menteri mengambil tindakan segera untuk memastikan perkara ini berlaku," tambah Mahfuz.