Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Seksualiti Merdeka: PKR, DAP dicabar nyata pendirian

PAS sudah jelaskan bahawa mereka menolak Program Seksualiti Merdeka 2011 namun apakah pendirian DAP dan PKR.

ali rustam Persoalan itu, dilontarkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang menganggap program berkenaan, sekiranya diteruskan akan membangkitkan isu sensitiviti agama.

Beliau berkata, sebelum ini Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat telah menyatakan pendiriannya dengan menolak program itu daripada diteruskan kerana jelas bertentangan dengan hukum agama.

"Buat pertama kali, pandangan PAS menyamai Umno apabila menolak cadangan Ambiga yang mahu mengadakan Program Seksualiti Merdeka.

"Saya ucap tahniah pada Datuk Nik Aziz kerana beliau tidak sokong perkara ini, tetapi apa kata PKR dan DAP," katanya ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut.

Malah, pendirian Nik Aziz ( bawah, kanan )  itu turut disusuli ramai pemimpin PAS dari seluruh negara.

Menurut Mohd Ali, program itu sebagai satu cadangan yang tidak baik dan tidak mengikut naluri manusia, iaitu lelaki dengan perempuan.

azlan "Kita ada agama malah agama menegah perkawinan antara sejenis, ia tak sesuai betul. Saya membantah keras usaha yang bercanggah dengan batasan agama ini.

"Ambiga sepatutnya duduk di Eropah atau Amerika supaya beliau senang mempromosikan lelaki kahwin lelaki dan perempuan kawin dengan perempuan," katanya.

Seksualiti Merdeka adalah festival tahunan yang meraikan hak asasi manusia rakyat yang terdiri daripada pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina.

Ia dianjurkan oleh sekumpulan gabungan longgar NGO, artis, aktivis dan individu sejak 2008 dan dijangka berlangsung dari 9 hingga 13 November ini serta bakal dirasmikan Ketua BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

Program festival itu, termasuk forum, ceramah, bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan.

ADS