Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menghentikan pinjaman perbelanjaan boleh menimbulkan masalah kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak berkemampuan.

NONE Sambil menyifatkan cadangan yang akan dilaksanakan mulai 2013 sebagai tidak tepat, Mohamed Khaled berkata ini kerana kos sara hidup yang dihadapi pelajar IPT khasnya di kalangan mereka yang tidak berkemampuan dan miskin, adalah tinggi.

Katanya, PTPTN belum mengemukakan cadangan itu, tetapi jika ia dikemukakan kementerian akan memperhalusi perkara itu dengan mengambil kira kriteria penuntut yang layak mendapat pinjaman perbelanjaan PTPTN.

"Saya percaya perlu ada pinjaman untuk menampung sara hidup lebih-lebih lagi kepada golongan yang kurang bernaib baik dan miskin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian pertandingan bola keranjang Persatuan Persaudaraan Kristian Visi di Johor Baharu, hari ini.

ptptn one stop centre kl sentral 260307 booths Semalam, Pengerusi (PTPTN) Datuk Ismail Mohamed Said dilaporkan berkata perbadanan itu bercadang menghentikan pemberian pinjaman perbelanjaan kepada penuntut IPT bagi mengurangkan tanggungannya yang semakin meningkat.

Bagaimanapun, katanya, pinjaman pembiayaan yuran pengajian tetap diberikan seperti biasa.

Ismail berkata, sehingga kini seramai 1.87 juta penuntut membuat pinjaman dengan PTPTN membabitkan peruntukan RM41.6 bilion.

- Bernama