Kes permit teksi: Pak Lah diingatkan jangan campuri siasatan BPR
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diingatkan bahawa perjumpaannya yang bakal diadakan dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz adalah tidak wajar dan menyalahi prosedur siasatan yang dijalankan berhubung isu pengeluaran 6,000 permit teksi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diingatkan bahawa perjumpaannya yang bakal diadakan dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz adalah tidak wajar dan menyalahi prosedur siasatan yang dijalankan berhubung isu pengeluaran 6,000 permit teksi.
Ketika mengingatkan demikian, pengerusi Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak), Mahfuz Omar berkata, pihaknya melihat perjumpaan itu "sebagai satu cubaan campurtangan dalam siasatan BPR ke atas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP)".
"Perdana Menteri yang juga bertanggungjawab ke atas BPR (yang terletak dibawah Jabatan Perdana Menteri)perlu memberi ruang masa dan memberi kepercayaan penuh terhadap badan tersebut, dengan menunggu hasil siasatan BPR yang akan dikemukakan kepada beliau nanti," kata Mahfuz dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak peguam negara akan menentukan sama ada perlu dibuat sebarang pendakwaan berkenaan kes tersebut setelah mengkaji hasil siasatan BPR itu.
"Sebarang perbuatan mencelah atau perundingan dalam proses ini, lebih-lebih lagi oleh seorang Perdana Menteri, akan dilihat sebagai satu campurtangan. Pertemuan itu nanti pasti mengganggu proses siasatan dan memberi kesan besar terhadap prosedur dan hasil siasatan berkenaan," tambahnya.
Siasatan tersebut dibuat berikutan dakwaan Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi Limousin dan Kereta Sewa Malaysia (Pertekma), Yusoff Lahir yang menurutnya terdapat individu yang memiliki 6,000 permit teksi melalui 19 syarikat.
Jumpa BPR
Berikutan dakwaan itu, Nazri menegur BPR menyelesaikan siasatan kes tersebut sehingga menyebabkan beliau dipandang serong oleh masyarakat.
Sehubungan itu, Nazri dijadual menemui dengan BPR esok untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes tersebut.
Menurut Mahfuz, perjumpaan tersebut, walaupun pada asasnya bertujuan meredakan 'perang mulut di antara Nazri dan Pengarah Siasatan BPR, Datuk Nordin Ismail (
kiri
), berhubung siasatan isu pengeluaran 6,000 permit teksi, akan menimbul beberapa persoalan.
"Kenapa hanya apabila sesuatu siasatan berkait secara langsung dengan pihak menteri atau kementerian mereka, maka mereka segera membidas dan menyerang pegawai kanan BPR.
"Padahal, semasa banyak pihak mempertikaikan BPR yang tidak melakukan siasatan atau lambat bertindak dalam kes Perwaja, isu skandal BMF, dan ratusan laporan yang dibuat, pihak menteri hanya berdiam diri dan membela BPR dengan bermacam alasan," tegasnya.
Mahfuz juga menyifatkan kenyataan Nazri seperti cuba mengajar BPR cara membuat siasatan berhubung kes pemberian 6,000 permit teksi.
Isytihar harta
"Impak berpendapat, BPR mesti diberi ruang seluas-luasnya dalam menjalankan tugas mereka, dengan menyiasat dari semua sudut, termasuk berkaitan harta dan kekayaan para menteri yang terlibat," tambahnya.
Menurutnya lagi, kenyataan Nazri yang anggota Kabinet membuat pengisytiharan harta setiap dua tahun kepada Perdana Menteri, tidak memberi jaminan bahawa mereka bebas daripada sebarang penyelewengan dan tidak boleh disiasat oleh BPR.
"Pengiytiharan harta kepada PM adalah untuk rekod dan makluman Perdana Menteri, dan sekiranya didapati seorang menteri memiliki kekayaan di luar kemampuan mereka, BPR berhak menjalankan siasatan sepeti yang termaktub dalam Akta BPR," tegasnya.
Tindakan BPR itu, tegasnya, akan memberi keyakinan kepada masyarakat awam bahawa badan tersebut tidak memilih bulu dalam melaksanakan tanggungjawab mereka seperti yang diamanahkan.
Di samping itu, Mahfuz juga menggesa semua pihak supaya menghormati penjelasan Ketua Pengarah BPR, Datuk Zulkipli Mat Noor bahawa pihaknya mengambil masa menyiapkan siasatan kerana ia membabitkan pelaksanaan keadilan dan tidak mahu mana-mana pihak mencabar kredibilitinya dalam menjalankan siasatan.
Katanya, jika Perdana Menteri dan para menteri berkaitan membuat desakan itu kepada BPR secara ikhlas dan bertanggungjawab, mereka juga perlu mendesak BPR menyegerakan siasatan dalam kes-kes lain yang sekian lama terpendam seperti kes Perwaja, kes penyelewengan dalam MAS, kes skandal BMF dan laporan rasuah terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.