Setelah hampir 43 tahun bergantung kepada sumber air negara asing, Johor akan menghentikan sama sekali pembelian air bersih daripada Perbadanan Kemudahan Awam Singapura (PUB) mulai Ogos tahun depan.

Ini berikutan Loji Air Semanggar di Kota Tinggi akan beroperasi sepenuhnya mulai tarikh tersebut.

Setakat ini, lima daripada paip masuk PUB sudah ditutup dan pada Ogos 2004 ke semua 18 paip masuk utama PUB akan ditutup sepenuhnya.

Bernama

memetik Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sebagai berkata, loji Semanggar mampu menampung keperluan kira-kira 1.5 juta penduduk daerah Kota Tinggi, Johor Baharu dan Pontian bagi menggantikan bekalan air bersih daripada 18 saluran paip utama PUB.

Bercakap selepas merasmikan Mesyuarat Jurutera-jurutera Bekalan Air Daerah Se-Malaysia di Johor Bahru hari ini, beliau berkata, projek loji air Semanggar menelan belanja RM649 juta dan kini 99 peratus siap.

Pada masa ini, katanya, loji tersebut sudahpun mula beroperasi membekalkan air bersih bagi penduduk di kawasan lima paip masuk PUB ditutup.

"Setelah hampir 43 tahun... ia akan menjadi satu detik bersejarah peralihan bekalan air daripada sumber negara asing kepada sumber bekalan sendiri," katanya.

Sumber baru

Sebelum itu, dalam ucapannya, Abdul Ghani berkata Johor berupaya menampung bekalan air bersih, termasuk di sektor industri dan perniagaan berikutan kejayaan penswastaan pengurusan sistem bekalan air bersih selama 30 tahun kepada SAJ Holdings Sdn Bhd pada April 1999.

"Pada Sept 2000, Kerajaan Negeri mengarahkan SAJ Holdings melaksanakan projek kebergantungan sifar bagi menggantikan bekalan air bersih PUB," katanya.

Menurut Abdul Ghani, Johor mampu menampung pertambahan lima peratus hingga enam peratus penggunan air bersih setahun berikutan Kajian Sumber Air Negara Tahun 2000 mendapati sumber air mentah di negeri itu mencukupi untuk keperluan sehingga tahun 2050.

Katanya, walaupun terdapat lebih 100 sungai dan lima lembangan sungai yang besar - Sungai Johor, Sungai Sedili, Sungai Endau, Sungai Muar dan Sungai Batu Pahat - namun kerajaan negeri tetap berhati-hati dan berusaha menjaga sumber air mentah daripada tercemar.

Abdul Ghani berkata, ini termasuk langkah mewartakan lapan kawasan takungan empangan dan dua kawasan tadahan air manakala 11 lagi kawasan tadahan air kini dalam proses perwartaan dan 11 kawasan baru berpotensi telah dikenalpasti dengan kerjasama Jabatan Hutan dan Pejabat Tanah dan Galian.

Katanya, Johor juga merancang membina sebuah lagi loji air di Sungai Sedili yang dijangka berharga lebih RM600 juta bagi menampung keperluan penduduk pada masa depan, termasuk menyalurkan air mentah dari Sungai Endau melalui saluran paip besar sepanjang beberapa puluh kilometer untuk diproses.