Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) menggesa kerajaan Filipina supaya tidak menjadikan peperangan sebagai jalan penyelesaian dalam isu keganasan, tetapi sebaliknya menggunakan meja rundingan sebagai cara utama.

Sehubungan itu, dewan berkenaan menggesa kerajaan Filipina supaya menarik balik pengisytiharan perangnya terhadap umat Islam pada awal bulan ini.

Sambil menyatakan bantahan dan kekesalannya terhadap tindakan tersebut, DPP mengingatkan kerajaan Filipina bahawa ia juga bererti negara berkenaan turut mengisytiharkan perang ke atas umat Islam di seluruh dunia.

Dalam satu kenyataannya, ketua DPP, Salahuddin Ayub mengingatkan negara tersebut bahawa terdapat kira-kira 250 juta umat Islam yang menjadi penduduk utama Asean.

"Perasaan dan maruah seluruh umat Islam mesti dihormati oleh Manila supaya tidak wujud ketegangan yang akhirnya mengundang kepada kemunculan kumpulan-kumpulan seperti Abu Sayaf," tambahnya.

Sebaliknya, kata beliau, Filipina sepatutnya memanfaatkan Asean sebagai saluran untuk mewujudkan keamanan di negara itu, bukannya dengan membawa masuk pengaruh Amerika Syarikat ke rantau ini.

"DPP berpandangan Manila harus bebas daripada pengaruh politik Washington dalam isu keganasan ini. Manila adalah sebuah negara anggota Asean yang mendukung prinsip Bebas, Aman dan Berkecuali.

Pelan damai

Oleh itu, katanya sewajarnyalah Manila menggunakan saluran Asean bagi menyelesaikan masalah keganasan tersebut, tanpa membenarkan campurtangan kuasa besar seperti Amerika yang boleh mengendurkan fungsi Asean.

"Kita sepatutnya berusaha memaksimumkan peranan Asean termasuk mengadakan rundingan bagi merangka pelan tindakan bagi menangani isu keganasan, dan juga membentuk pelan damai dengan pihak yang bertelagah," tambahnya.

Salahuddin sekali lagi mengingatkan Manila supaya tidak menjadi umat Islam sebagai musuh negara itu.

"Manila tidak boleh hanya menuding jari kepada perjuangan kemerdekaan umat Islam Mindanao. Manila juga harus melihat kembali sejarah bahawa Mindanao tidak pernah dijajah atau dikalahkan oleh Sepanyol atau Amerika.

"Oleh itu, Manila harus menghormati hak-hak umat Islam Mindanao, termasuk untuk memiliki autonomi sendiri. Menjadikan umat Islam sebagai musuh adalah mengundang masalah yang lebih besar," tegas Salahuddin.

Menurutnya lagi, mungkin terdapat kumpulan-kumpulan yang dianggap pengganas oleh Manila atau Washington seperti Abu Sayaf, tetapi ini tidak bermakna seluruh umat Islam Filipina adalah anggota Abu Sayaf.

Mohon maaf

"Manila, khususnya Presiden Arroyo Macapagal tidak harus menjadikan sesuatu yang sensitif seperti pengisytiharan perang ke atas umat Islam sebagai satu strategi politik menjelang pilihanraya presiden.

"Mencari sokongan rakyat atau sokongan Amerika dengan mengisytiharkan perang ke atas umat Islam akan membawa kepada bencana lain yang lebih besar," tambah Salahuddin.

Menurutnya lagi, DPP tidak menolak sebarang usaha Manila untuk memerangan keganasan, khususnya dalam mewujudkan keamanan di Filipina, kerana keganasan bukan sahaja menjadi masalah keselamatan, tetapi juga keganasan politik dan ekonomi seluruh rantau ini.

"Tetapi apakah wajar keganasan ditangani dengan keganasan juga. Manila harus menjadi meja rundingan sebagai pilihan pertama. Pertumpahan darah tidak menguntungkan sesiapa," katanya.

Malah, tegasnya, tindakan Manila membawa masuk tentera Amerika bagi memerangi umat Islam di Mindanao ternyata tidak menyelesaikan masalah.

Bahkan, Salahuddin berkata, tentera Amerika telah terbukti lebih ganas daripada Abu Sayaf apabila mereka turut membunuh orang awam sepertimana yang berlaku di Afghanistan dan Iraq.

"Mengapa Manila perlu menjemput pengganas yang lain bagi memerangi pengganas di sana," tegasnya.

Sehubungan itu, katanya, Manila perlu menarik balik pengisytiharan perang itu serta memohon maaf kepada umat Islam di Filipina.