Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) bimbang terhadap kemungkinan Program Khidmat Negara (PKN) akan bertukar menjadi jentera terbaru Umno/Barisan Nasional dalam mengindoktrinasikan muda-muda.

Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya bimbang PKN - yang tujuan asalnya untuk membendung gejala sosial, di samping menimbulkan semangat patriotisme - akan disalahgunakan oleh Umno/BN untuk mengindoktrinasikan muda-muda.

"Kebimbangan ini berasaskan kepada pengalaman satu lagi institusi kerajaan - Biro Tata Negara (BTN) - yang telah diperalatkan oleh Umno untuk kepentingan politiknya," kata Ketua DPP, Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan hari ini.

"Tidak mustahil bagi Umno untuk menyalahgunakan PKN bagi tujuan politik mereka setelah melihat peralihan sikap politik muda-mudi hari ini yang mula menolak politik Umno/BN," tambahnya.

Beliau juga melahirkan kesangsiannya terhadap perlantikan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Ahmad Fawzi Basri, mengetuai program tersebut.

Salahuddin mendakwa Dr Ahmad Fawzi adalah seorang tokoh yang dikenali umum sebagai pendokong kuat ideologi Umno, serta terlibat secara aftif dalam parti politik itu.

Tokoh Umno

"Walaupun merupakan seorang ahli akademik, beliau diketahui sebagai seorang yang partisan dalam tindakannya. Beliau juga adalah tokoh yang aktif dalam Alumni Kelab Umno, sebuah kelab yang menghimpunkan pemikir-pemikir Umno," tambahnya.

Salahudin juga mendakwa BTN yang dipimpin oleh Datuk Dr Nordin Kardi, seorang tokoh kanan Alumni Kelab Umno telah digunakan untuk mengindoktrinasi pemikiran Umno/BN terhadap para pelajar.

"DPP percaya Ahmad Fawzi dipilih atas kapasitinya sebagai tokoh Umno, bukannya atas kedudukannya sebagai pentadbir atau pegawai kanan dalam askar wataniah," tambahnya.

DPP juga mendakwa telah mendapat maklumat bahawa PKN akan menyediakan beberapa program para remaja bersama artis untuk memberi hiburan kepada mereka.

"DPP membantah keras sekiranya artis-artis digunakan bagi tujuan khidmat negara ini. PKN adalah bertujuan membentuk syaksiyah para remaja dan muda-mudi agar tidak terjebak dengan anasir-anasir yang merosakkan.

"Mereka adalah aset untuk masa depan negara. Sebarang tindakan yang berunsur hedonisme akan menghancurkan ketahanan jiwa mereka. Artis-artis adalah idola kepada muda-mudi, dan artis juga menjadi salah satu punca utama keruntuhan akhlak mereka," tegasnya.

Gangguan politik

Oleh itu, tegas Salahuddin adalah tidak wajar bagi kerajaan untuk mengembangkan budaya hedonisme bagi tujuan pembinaan jatidiri remaja.

"Kerajaan mestilah memastikan PKN ini benar-benar menjadi satu program yang mengikut matlamat asalnya. Sebarang usaha untuk menjadikan PKN sebagai alat politik murahan bagi mengelirukan remaja adalah tidak bermaruah," tegasnya.

Sambil menggesa supaya PKN dibebaskan dari sebarang unsur kepartian, Salahuddin berkata, DPP mencadangkan agar pengarah PKN diberi kepada pentadbir awam yang bebas dari gangguan politik kepartian.

DPP, katanya, juga mendesak supaya lebih banyak pengisian keagamaan diberikan dalam PKN untuk membentuk keimanan, ketahanan jiwa dan jatidiri remaja berasaskan ajaran agama.

"Program-program yang melalaikan termasuk penggunaan artis-artis, hendaklah dihapuskan. Sekiranya kerajaan BN menjadi PKN sebagai alat politik, DPP percaya semua rancangan ini akan menemui kegagalan dan merugikan negara," tambahnya.