Mahkamah akan dengar kes KJ ketepi subpoena
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan tiga yang lain memohon untuk mengetepikan subpoena kepada mereka untuk memberi keterangan dalam saman yang dikemukakan oleh bekas timbalan pengerusi New Straits Times Press Berhad (NSTP) Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan terhadap peguam Matthias Chang Wen Chieh.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad menetapkan 2 Disember untuk mendengar permohonan yang difailkan oleh Khairy, bekas Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, bekas pengarah South Peninsular Industries Bhd Tan Sri Azman Hashim dan pengasas Limkokwing University of Creative Technology, Tan Sri Lim Kok Wing.
Asmabi menetapkan tarikh itu selepas menemui semua pihak terbabit hari ini.
Mereka disubpoena sebagai saksi-saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan saman yang sedang berjalan yang dikemukakan oleh Kalimullah.
Perbicaraan itu bermula Khamis lepas sehingga Jumaat ini.
Mengenai perkara itu, peguam Chang, Vinod R Kamalanathan memberitahu pemberita bahawa anak guamnya itu sebagai defendan dalam saman tersebut mahu memanggil empat yang lain untuk membuktikan pembelaannya perlindungan bersyarat, ulasan yang adil dan ada kewajaran.
Peguam Datuk Rajan Navaratnam yang mewakili Lim berkata anak guamnya itu memohon untuk mengetepikan subpoena berdasarkan bahawa beliau (Lim) tidak terbabit dalam saman itu.
Pada 26 Jun, 2006, Kalimullah memfailkan satu saman memfitnah setelah Chang membuat kenyataan terhadap beliau pada 13 Jun, 2006, di satu persidangan akhbar, di mana laporan itu disiarkan di Singapore Straits Times menerusi koresponden rakyat Malaysia Leslie Lau.
Beliau memohon injunksi untuk menegah Chang (
kanan
) daripada menyiarkan perkataan yang sama, RM50 juta sebagai kemudaratan, kos dan faedah.
Katanya perkataan dalam artikel itu bermaksud beliau seorang rakyat Malaysia yang tidak jujur, tidak ada kredibiliti, tidak boleh dipercayai, tercemar, keji, pengecut, suka manipulasi dan penipu.
Kalimullah yang memberikan keterangan di mahkamah Khamis lepas, memberitahu mahkamah bahawa beliau memfailkan saman terhadap Chang kerana membuat kenyatan yang memudaratkan dan tidak berasas terhadap beliau.
Chang, bekas setiausaha politik kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, juga memfailkan dakwaan balas terhadap Kalimullah pada 14 Julai antara lain memohon RM150 juta kerana memudaratkan.
- Bernama

