Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain berkata beliau tidak pasti sama ada kekal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kubang Rotan seperti sebelumnya.

Bagaimanapun, beliau yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, berkata apa juga keputusan yang dibuat adalah untuk kepentingan parti dalam menghadapi pilihanraya nanti

Menurutnya, Umno Kedah telah menyenaraikan gandingan mantap muka baru dan lama dalam senarai calonnya bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Bernama

memetik beliau sebagai berkata, nama-nama calon itu akan diserahkan kepada pemangku Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membuat keputusan.

Bagaimanapun, katanya Syed Razak, senarai tersebut cuma cadangan daripada Umno Kedah dan segala-galanya terserah kepada pucuk pimpinan Umno untuk membuat keputusan mengenainya.

"Dalam senarai yang diserahkan itu, kita ada namakan muka-muka baru sebagai calon berdasarkan perkembangan semasa situasi politik di negeri ini tetapi saya tidak mahu nyatakan berapa bilangan mereka," katanya

Perbincangan

Syed Razak memberitahu pemberita selepas merasmikan Terminal Haji Kedah di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas di sini, hari ini.

Buat masa ini, katanya, beliau belum lagi mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pemangku Presiden Umno mengenai perkara tersebut.

Akhbar hari ini memetik Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali sebagai berkata, Umno Perak menyenaraikan 15 muka baru dalam senarai calon pilihanraya akan datang.

Manakala Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata BN Selangor pula akan mengadakan mesyuarat bagi memutuskan senarai calon pilihanraya selepas Abdullah, selaku Pengerusi BN mengumumkan sepenuhnya pengagihan kerusi bagi semua parti komponen di seluruh negara.

Parti-parti komponen BN juga, katanya, sedang membuat cadangan mengenai calon untuk dihalusi oleh presiden parti masing-masing.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco hari ini, beliau berkata, BN Selangor akan bermesyuarat selepas itu bagi membincangkan pembahagian kerusi antara parti komponen di negeri itu dan memutuskan calonnya.