Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) menyifatkan masalah kekurangan sehingga 1,466 guru sekolah rendah di Selangor, Perak dan Pulau Pinang pada sesi persekolahan tahun depan, sebagai satu krisis dalam sektor pendidikan yang tidak boleh dipandang remeh oleh pihak kerajaan.

"Ini menunjukkan dengan jelas bahawa Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad dan Timbalannya, Datuk Aziz Shamsudin, gagal mentadbir kementerian tersebut dengan berkesan," kata timbalan ketua DPP, Idris Ahmad.

"DPP berpandangan bahawa krisis ini berlaku akibat kegagalan Menteri Pendidikan membuat unjuran yang berkesan dan tepat tentang keperluan kemasukan pelajar baru, bilik baru dan keperluan guru-guru mata pelajaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, DPP sangat kesal kerana ianya bukan sahaja memalukan sistem pendidikan negara, tetapi juga memberi kesan buruk terhadap proses pembelajaran anak-anak di sekolah.

"Pihak Kementerian Pendidikan, khususnya menteri berkenaan sewajarnya telahpun memiliki unjuran yang tepat terhadap segala keperluan pendidikan kerana kerajaan mempunyai rekod tentang kelahiran, kapasiti sekolah, kepakaran guru dan infrastruktur pendidikan.

Lebihan guru

Akhbar Utusan Malaysia melaporkan semalam bahawa kekurangan paling ketara ialah di Selangor yang memerlukan 838 guru lagi, diikuti Perak (396) dan Pulau Pinang (232).

Akhbar berkenaan memetik Anggaran Belanjawan Mengurus (ABM) yang diterbitkan oleh Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan, bahawa pada tahun depan, Selangor perlu mempunyai 24,486 guru berbanding 23,648 sekarang, ekoran pembukaan 14 sekolah baru di negeri itu, dengan 11,760 murid.

Pada masa yang sama, laporan ABM 2004 menunjukkan Sabah, Johor dan Kedah akan mempunyai guru berlebihan tahun depan, iaitu lebihan 707 di Sabah, 451 (Kedah) dan 406 (Johor).

Pahang juga mempunyai lebihan 176 guru, Sarawak (129); Kelantan (60); Negeri Sembilan (92); Terengganu (59); Melaka (31); Perlis (29); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (21) dan Wilayah Persekutuan Labuan (4).

Mengulas lanjut mengenainya, Idris berkata adalah tidak munasabah sekiranya baru sekarang kerajaan menyedari kekurangan guru, sedangkan sesi persekolahan akan bermula dua minggu lagi.

Beliau mendakwa kegagalan pentadbiran Musa banyak dipengaruhi tindakan Musa dan Aziz yang terlalu mempolitikkan pendidikan sehingga menjejaskan tumpuan kementerian berkenaan.

Pelajar SAR

"Sepanjang di Kementerian Pendidikan, Musa dan Aziz telah banyak mencetuskan pelbagai isu pendidikan, termasuk isu sekolah agama rakyat (SAR), penutupan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Damansara, penggunaan bahasa Inggeris untuk subjek matematik dan sains, isu sekolah wawasan dan campurtangan dalam pilihanraya kampus," tegas Idris.

Beliau mendakwa, tindakan politik ke atas pelbagai institusi pendidikan telah menyebabkan tumpuan Kementerian Pendidikan, terbabas sehingga gagal mengadakan unjuran yang tepat mengenai keperluan guru.

DPP juga, kata Idris, tidak menolak kemungkinan kekurangan guru tersebut berpunca daripada tindakan kerajaan mempolitikkan SAR sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

"DPP percaya, SAR yang sebelum ini menampung sebahagian daripada kekurangan dalam pendidikan negara, telah ditinggalkan oleh rakyat sehingga menyebabkan berlakunya limpahan pelajar yang membawa kepada kekurangan guru di sekolah kebangsaan," katanya.

Di samping itu, kata beliau, DPP juga mengesyaki Kementerian Pendidikan, telah gagal menempatkan dengan berkesan guru-guru SAR yang dipancing dari institusi tersebut satu ketika dahulu.