BERITA

Memoir Syed Husin: Ezam keluar parti kerana wang

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Nov 2011, 9:52 pagi

Memetik perbualan sepanjang hasil kerjaya politiknya, timbalan presiden PKR menerusi bukunya - Memoir Perjuangan Politik - Syed Husin Ali menceritakan babak-babak yang menyaksikan bekas ketua pemuda parti itu, Ezam Mohd Noor berpaling tadah.

ezam mohd noor at mca function Dalam bab yang dinamakannya, ‘Alasan Ezam keluar parti’ - ahli politik veteran itu berkata, Ezam pernah memberitahunya sebulan sebelum meletakkan jawatan bahawa beliau kesempitan wang dan malu kerana terpaksa bergantung kepada pendapatan isterinya.

“Doktor, sekarang ini saya tiada pekerjaan dan tidak ada sumber pendapatan. Pendapatan saya sebanyak US$3,000 sebulan di Indonesia sebagai pengarah sudah terhenti sejak syarikat itu tutup.

“Sekarang saya terpaksa bergantung hanya kepada pendapatan isterti saja. Malulah, walaupun gajinya besar juga, kira-kira RM8,000. Saya kena cari peluang untuk mendapatkan satu dua jawatan pengarah. Ini boleh hanya jika ada bukti saya sudah meninggalkan parti,” tulisnya dalam buku itu.

Menurut Syed Husin pendedahan itu dibuat oleh Ezam selepas beliau meminta penjelasan berhubung khabar angin bahawa ketua pemuda PKR itu telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada setiausaha PKR Selangor.

NONE "Doktor. Saya berhenti. Sekarang ini musuh saya bukan lagi Azmin. Musuh saya ialah Anwar. Percayalah saya akan melakukan apa saja untuk memusnahkannya,” Ezam didakwa berkata.

Menceritakan reaksinya, Syed Husin berkata beliau tertanya-tanya jika Ezam yang sekarang ini telah dilantik sebagai senator oleh BN sudah berjaya "dibeli oleh pemimpin Umno".

"Aku teringatkan surat daripada Hishammuddin Rais semasa beliau dalam tahanan dulu.

“Aku terperanjat besar. Aku masih tidak faham mengapa Ezam begitu berterus terang sekali,” tulis Syed Husin lagi.

Bagi pemimpin veteran itu, tindakan Ezam cukup mengecewakannya.

“Aku beranggapan beliau mempunyai potensi untuk memainkan peranan penting dalam parti. Bahkanterlintas juga dalam dalam fikiranku bahawa mungkin beliau boleh dipromosikan untuk menjadi salah seorang calon timbalan presiden pada masa akan datang,” katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.