Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi pada 5.8 peratus pada suku ketiga berbanding 4.3 peratus pada suku kedua berikutan permintaan domestik yang lebih kukuh, kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini.

Beliau berkata permintaan kukuh dipacu oleh pengembangan dalam perbelanjaan isi rumah dan perniagaan serta perbelanjaan sektor awam yang lebih tinggi.

NONE Permintaan domestik berkembang sebanyak sembilan peratus daripada 5.6 peratus pada suku kedua didorong oleh peningkatan dalam perbelanjaan sektor swasta dan perbelanjaan sektor awam yang lebih tinggi, kata beliau pada sidang  akhbar mengenai prestasi suku ketiga ekonomi Malaysia.

Zeti berkata penggunaan meningkat sebanyak 7.3 peratus berbanding 6.4 peratus pada suku kedua seiring dengan pertumbuhan pendapatan yang memberangsangkan, manakala penggunaan awam bertambah 21.7 peratus daripada 6.6 peratus pada suku kedua berikutan perbelanjaan lebih tinggi terhadap emolumen, bekalan dan perkhidmatan serta pembayaran bonus semasa suku berkenaan.

Zeti berkata pertumbuhan itu dicapai meskipun persekitaran mencabar berikutan ketidaktentuan berterusan dalam pasaran kewangan, keadaan fiskal yang kurang memberangsangkan dan kelemahan dalam pasaran tenaga kerja di ekonomi maju.

Mengenai masa depan, Zeti berkata risiko kepada pertumbuhan ekonomi global telah meningkat berikutan perkembangan yang berlaku pada suku ketiga.

Sangat terbuka

"Berkemungkinan beberapa kesan akan dialami pada suku keempat dan Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, ia akan memberi kesan faktor luaran kita.

"Bagaimanapun, kita menjangka ekonomi domestik kita dan permintaan domestik akan terus mengekalkan pertumbuhan.

“Petunjuk menunjukkan permintaan akan berterusan dan pelaburan sektor swasta dan pelaburan awam memberi momentum sebagaimana dilihat pada separuh pertama tahun ini, (tetapi) ia kekal kepada setakat mana permintaan luar negeri akan memberi kesan kepada kita.

“Pada masa ini, tidak dapat ditentukan mengenai pertumbuhan suku keempat, kecuali permintaan domestik akan terus kukuh dan sudah tentu kita tahu bonus yang dibayar akan sentiasa memberi kesan ke atas perbelanjaan dan pelaksanaan projek-projek yang akan menyumbang secara positif kepada prestasi suku keempat, " kata beliau.

Zeti berkata walaupun persekitaran antarabangsa yang mencabar akan memberikan risiko menurun yang lebih besar kepada prospek pertumbuhan  Malaysia, pertumbuhan dalam permintaan domestik diunjur terus menjadi teras pertumbuhan, disokong oleh pengembangan dalam penggunaan swasta dan pelaburan swasta.

Perbelanjaan awam dan aktiviti pelaburan juga dijangka memberi sokongan kepada pertumbuhan.

Melihat kepada prestasi suku ketiga, Zeti berkata kadar inflasi sebagaimana yang diukur oleh perubahan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) naik kepada 3.4 peratus bagi asas tahunan pada suku ketiga berbanding dengan 3.3 peratus pada suku sebelumnya.

“Kenaikan dalam harga pengguna terutamanya hasil daripada harga lebih tinggi dalam kategori makanan dan minuman bukan alkohol yang naik 4.8 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku kedua,” kata beliau.

Pendapatan lebih rendah

Sementara itu, dalam sektor luar, akaun semasa mencatatkan lebihan yang besar sebanyak RM26.6 bilion, bersamaan 12.5 peratus Pendapatan Negara Kasar berikutan lebihan barangan lebih tinggi dan defisit pendapatan lebih rendah.

Eksport kasar mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 11.4 peratus berbanding  8.8 peratus pada suku sebelumnya, mencerminkan pengembangan berterusan dalam eksport produk pembuatan bukan elektronik dan elektrik serta komoditi manakala pertumbuhan import kekal pada 7.4 peratus.

Beliau berkata keseluruhan imbangan bayaran kekal kukuh, mencatatkan lebihan sebanyak RM10.9 bilion pada suku ketiga berbanding dengan RM61.7 bilion pada suku sebelumnya setelah lebihan lebih tinggi dalam akaun semasa yang lebih daripada mengimbangi kedudukan aliran keluar bersih dalam akaun kewangan.

Zeti berkata pertumbuhan suku pertama dan kedua disemak semula kepada  5.2 peratus dan 4.3 peratus daripada masing-masing 4.9 peratus dan 4.0 peratus.

Semakan itu disebabkan maklumat tambahan yang diterima oleh Jabatan Perangkaan.

- Bernama