Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menyambut baik projek 'kad laporan' atau penilaian keberkesanan khidmat wakil rakyat, yang dilancarkan NGO anak muda dan sebuah pusat kajian dasar semalam.

NONE Anggota parlimen Temerloh itu berkata, projek itu dapat meningkatkan dan meluaskan penyertaan orang ramai dalam proses politik serta membuka lembaran baru komunikasi dua hala.

"Ia dapat membantu wakil rakyat untuk memperbaiki perkhidmatannya, manakala rakyat dapat menyampaikan pengharapannya terhadap perkhidmatan yang diperlukan daripada wakil rakyatnya," katanya.

Semalam, NGO anak muda UndiMsia dan institut kajian Centre for Public Policy Studies (CPPS) melancarkan kajian statistikal untuk projek itu yang akan bermula di Hulu Langat.

Pengerusi CPPS Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, selain menjalankan kajian tersebut, projek itu juga bertujuan mendidik pengundi supaya lebih mengambil berat tentang isu dan wakil rakyat yang dipilih.

Dalam kenyataannya hari ini, Saifuddin percaya, usaha itu akan mematangkan demokrasi kerana penilaian terhadap wakil rakyat tidak lagi semata-mata berasaskan persepsi dan sentimen.

Katanya, sebagai wakil rakyat pertama kali, beliau dengan sukarela memulakannya sejak genap enam bulan pertama dipilih dengan mengeluarkan kad laporan dua tahun sekali.

Ia mengandungi penilaian dalam enam bidang pembangunan tumpuan, seperti dinyatakan dalam manifesto pilihan raya, iaitu pendidikan dan latihan; kesihatan dan kecergasan; pekerjaan dan ekonomi; jati diri dan sosio-budaya; partisipasi dan masyarakat sivil; serta frasarana dan kemudahan awam.

Selain dibentangkan kepada wakil pelbagai sektor, kata Saifuddin, ia juga diedar kepada media, disiarkan dalam laman web dan diedar dalam bentuk brosur di kawasan parlimennya.