Majlis Peguam hari ini melancarkan tabung khas untuk menanggung kos mahkamah bagi kes melibatkan Orang Asli.

Bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, tabung berkenaan bertujuan menanggung kos untuk memfailkan kes dan juga kos perundangan lain.

s ambiga bar council forum on orang asli Ambiga berkata, peguam yang menangani kes berkenaan bagaimanapun tidak akan mengenakan yuran guaman, katanya lagi yang turut merasmikan Jawatankuasa Hak Orang Asli Majlis Peguam (COAR) hari ini.

Halangan besar untuk Orang Asli mengemukakan kes mereka ke mahkamah, terutama berhubung hak ke atas tanah mereka adalah kos mahkamah.

Antara lainnya adalah kes melibatkan penempatan sekumpulan masyarakat Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh Ogos lalu.

Ketua kampung kumpulan masyarakat Semai itu, Kadir Ahsan ketika membentangkan kesnya dalam seminar selepas itu berkata kerajaan telah memujuk mereka untuk berpindah.

"Kerajaan suruh kita pindah banyak kali, tapi kita memang tak mahu pindah. Walau berisiko pun kita akan duduk di situ juga," katanya.

Jelasnya, mereka enggan berpindah dari kawasan yang didiami itu kerana bimbang tanah berkenaan akan diambil oleh pemaju.

Beliau memberi alasan, lereng bukit yang didiami itu bernilai tinggi kerana kedudukannya yang mengadap satu kawasan padang golf.

"Sebab itulah kita perlukan bantuan peguam," katanya lagi yang mahu hak anggota masyarakatnya ke atas kawasan berkenaan dikekalkan.

Selain kes di Sungai Ruil, COAR turut meneliti kes melibatkan antara lainnya masyarakat Jakun di Rompin, golongan Temiar di Gua Musang, serta kumpulan masyarakat Seletar di Johor Bahru.

crowd orang asli forum at bar council Sementara itu, pengerusi COAR, Hong Kai Ping berkata kes berkenaan perlu dibawa bersama oleh para peguam kerana ia melibatkan banyak kerja rujukan dan tidak boleh dijalankan oleh satu-satu firma sahaja.

Selain itu, beliau juga menganggarkan antara 20 hingga 30 kes lain akan berjaya diketengahkan oleh peguam yang bekerjasama secara sukarela dengan jawatankuasa berkenaan.

"Strategi kita adalah penyertaan besar-besaran daripada peguam secara sukarela.

"Kita juga akan failkan kes demi kes supaya pejabat Peguam Negara dibanjiri oleh kes baru. Barulah kerajaan tidak boleh kata tidak ada kes melibatkan Orang Asli," katanya lagi.

Beliau yang juga pengerusi Majlis Peguam Pahang berkata jawatankuasa itu juga perlu berfungsi untuk menyelia kerja guaman sukarela oleh peguam yang menjalankan kes berkenaan secara sukarela.

Selain dari bantuan guaman, masyarakat Orang Asli itu juga perlu dibantu untuk menyediakan dokumentasi, terutama untuk kes melibatkan melibatkan tuntutan kawasan tanah mereka, kata Hong lagi.

Golongan berkenaan juga perlu dibantu untuk menangani situasi seperti pencerobohan ke dalam kawasan mereka dan kaedah untuk berurusan dengan agensi kerajaan seperti menulis surat untuk permohonan tertentu, tambahnya.