Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pinjaman kepada NFC tak dibincangkan pada kabinet
Diterbitkan:  Nov 19, 2011 8:25 PM
Dikemaskini: Nov 20, 2011 8:27 AM

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar mengesahkan bahawa pinjaman kepada syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) tidak dibincangkan pada kabinet sebaliknya dibincangkan di bawah Jawatankuasa Projek-projek Berimpak Tinggi.

NONE Beliau berkata perkara itu dibentangkan kepada jawatankuasa berkenaan yang kemudiannya mengkaji serta memberi kelulusan pinjaman kepada NFC.

"Rafizi (pengarah strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli) tidak faham, nak dedahkan di kabinet apa kalau ia tidak dibawa ke kabinet, ia hanya dibawa ke jawatankuasa itu sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Selangor di Stesen Mardi, Jalan Kebun di Klang hari ini.

Noh berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan Rafizi kepada kerajaan supaya mendedahkan kertas mesyuarat jemaah menteri berhubung keputusan kerajaan menganugerahkan projek lembu fidlot NFC dan pemberian pinjaman RM250 juta kepada syarikat yang diterajui anggota keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu.

Rafizi dilaporkan berkata, perkara itu perlu dijelaskan untuk memastikan sejauh mana penglibatan Shahrizat dalam proses menganugerahkan projek berkenaan kepada NFC yang diketuai suami menteri berkenaan, Datuk Seri Mohammad Salleh Ismail sebagai pengerusi eksekutif.

azlan Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini mendapati NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya selain wujud dakwaan pembelian kondominium mewah di Bangsar, Kuala Lumpur yang dikatakan menggunakan wang NFC.

Mohamad Salleh dalam penjelasannya Khamis lalu berkata, projek berkenaan berjaya menepati sasaran awal dan menafikan dakwaan pembangkang kononnya ia berada dalam keadaan tidak terurus.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu keputusan NFC membeli kondominium di Bangsar menggunakan wang pinjaman projek ternakan lembu juga merupakan satu langkah bijak dalam mengukuhkan kewangan syarikat itu.

- Bernama

ADS