Strategi Biomas mampu jana pendapatan RM30 bilion
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), BiotechCorp dan agensi-agensi berkaitan, akan melancarkan satu pelan cadangan Bioekonomi bagi Malaysia menjelang awal tahun depan.
Inisiatif yang akan dilancarkan itu akan melengkapi Dasar Bioteknologi Negara.
"Sesetengah bidang yang difokuskan di dalam pelan cadangan Biokonomi itu ialah Ekstrak, BioMakanan Haiwan, BioKawalan, BioBaja, Genomiks, BioSimilar dan BioIndustri," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan dan Pameran BioMalaysia 2011 di Kuala Lumpur hari ini.
Majlis itu dianjurkan bersama dengan Sidang Kemuncak Lembangan Pasifik Mengenai Industri Bioteknologi dan Biotenaga ke-enam yang diadakan bagi pertama kalinya di luar Amerika Syarikat (AS).
Pada majlis itu, Najib turut melancarkan Strategi Biomas negara ini yang bertemakan "Biomass to Wealth", yang akan menyaksikan pewujudan industri bernilai tinggi yang baharu dan 70,000 pekerjaan di mana 40,000 akan merupakan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Menjelang 2020, Strategi Biomas dijangka menjana pendapatan baharu RM30 bilion di Malaysia, katanya.
Sebagai negara pengeksport minyak sawit terbesar di dunia, katanya Malaysia menjana banyak biomas yang mempunyai potensi yang besar bagi aplikasi bernilai tambah yang tinggi dari bio bahan api hingga kepada bioplastik dari bahan mentah selulos.
Dengan mempunyai nilai dianggarkan US$11.14 bilion pada 2015, biomas disasarkan menjadi penyumbang penting terhadap sektor pertanian dan perindustrian bioteknologi.
Strateginya dibangunkan oleh Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dengan kerjasama rapat dengan agensi kerajaan, universiti dan para peneraju perniagaan yang berkaitan.
- Bernama

