Keluarga: Dimanakah pelajar ISA ditahan?
Keluarga empat pelajar yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) memberi tempoh tiga hari kepada pihak polis untuk menyerahkan salinan surat perintah dan alasan tahanan mereka.
Keluarga empat pelajar yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) memberi tempoh tiga hari kepada pihak polis untuk menyerahkan salinan surat perintah dan alasan tahanan mereka.
Permohonan itu dibuat melalui surat yang dihantar oleh pihak peguam yang mewakili keluarga terbabit - Chooi & Company - yang dialamatkan kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamed Bakri Omar.
Surat tersebut bertarikh 19 Disember dan ini bererti polis mempunyai masa sehingga esok untuk berbuat demikian.
Pelajar terbabit ialah Muhammad Radzi Abdul Razak, 19, Mohd Akil Abdul Raof, 21, Eddy Erman Shahime, 19 dan Abi Dzar Jaafar, 18.
Menurut surat tersebut, keluarga Akil telah dibenarkan berjumpa dengannya dan perjumpaan itu dilakukan di Bukit Aman pada 12 Disember lalu.
Manakala keluarga Radzi telah pergi ke Kem Tahanan Kamunting pada 14 Disember lalu untuk cuba menemuinya, tetapi gagal berbuat demikian kerana beliau tidak berada di situ.
Selain itu, keluarga Abi Dzar telah dibenarkan berjumpa dengan beliau pada 17 Disember lalu dan perjumpaan tersebut diadakan di di Bukit Aman.
Sehubungan itu, keluarga mereka berkata, sekiranya pelajar terbabit dikenakan tahanan ISA selama dua tahun, mereka sepatutnya berada di kem tahanan di Kamunting, tetapi sebaliknya ditempatkan di satu lokasi yang tidak diketahui.
Perintah terbatal
Menurut surat tersebut, pelajar-pelajar terbabit seharusnya berada di tempat tahanan di Kamunting atas perintah tahanan yang dikatakan di bawah Seksyen 8 ISA 1960.
Katanya, oleh kerana pelajar-pelajar terbabit masih ditahan di satu lokasi yang tidak ketahui, maka ini membuat sebarang perintah tahanan ke atas mereka tidak beroperasi dan terbatal.
"Selanjutnya anak guam kami tidak lagi boleh ditahan di satu lokasi yang tidak diketahui untuk penyiasatan atau soalsiasat sepertimana yang sedang dilakukan apabila perintah tahanan yang dikatakan di bawah Seksyen 8 ISA 1960, dibuat," tambahnya.
Menurut surat itu lagi, memandangkan permintaan untuk mendapatkan salinan perintah dan alasan tahanan telah ditolak, ia menunjukkan perintah tersebut belum dibuat atau disempurnakan ke atas pelajar-pelajar terbabit.
Jika dakwaan tersebut tidak benar, firma peguam berkenaan mahu semua salinan perintah dan alasan tahanan ke semua pelajar terbabit diberikan kepadanya, serta pengesahan penerimaan dalam masa tiga hari dari tarikh surat ini.
"Antara alasan lain, kami memerlukannya untuk mendapatkan arahan lanjut dan mengambil sebarang tindakan undang-undang," tambahnya.
Mereka yang sebelum ini menuntut di Karachi, ditahan sekembalinya ke tanahair pada 10 November lalu untuk siasatan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan kumpulan Jemaah Islamiah (JI).


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.