Mahkamah bebas 11 peserta protes lebuh raya Kesas
Sebelas orang yang didakwa mengambil bahagian dalam perhimpunan haram di Lebuh Raya Kesas pada tahun 2000 dan enggan bersurai walaupun arahan dikatakan diberikan oleh pihak polis, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Ketika menolak rayuan pihak pendakwa, Hakim Datuk Abdul Rahim Uda berkata, pihak pendakwa gagal membuktikan kes yang melampaui keraguan munasabah.
Tidak ada bukti, kata hakim, untuk menunjukkan semua tertuduh mempunyai niat yang jelas untuk berkumpul secara haram.
Katanya, juga tidak ada bukti menunjukkan mereka ada mendengar arahan polis supaya bersurai.
Hakim berkata, perayu juga gagal untuk menunjukkan perkataan yang digunakan dan tindakan mereka, selaras dengan hasrat untuk berkumpul secara haram.
Sepatutnya, kata hakim, Mahkamah Sesyen yang membicarakan kes tersebut, tidak perlu memanggil mereka membela diri dan sepatutnya mereka dibebaskan tanpa perlu berbuat demikian.
Mahkamah Sesyen pada 6 Oktober 2009, membebaskan kesemua 11 peserta protes tersebut apabila hakim Noradidah Ahmad memutuskan pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie.
Bagaimanapun, pihak pendakwa, selepas membuat rayuan, memperolehi perintah mahkamah untuk memanggil mereka membela diri.
Mereka didakwa menyertai perhimpunan haram dan gagal bersurai apabila diarahkan untuk berbuat demikian semasa Perhimpunan 100,000 Rakyat anjuran Parti Keadilan Nasional di sepanjang lebuh raya Kesas di 5 November 2000.
Mereka - Monashofian Zulkarnain Putra, Aida Idris, Muhamad Tarmidzi Abd Rahman, Sahri Bahari, Pospanlinggam Sinakaru, Md Abd Nasir Md Isa, Ahmad Faisal Chek, Mat Dan Hassan, Abdul Razak Ismail, Mohd Salim Lal Din dan Saeden Wateh - didakwa melakukan kesalahan tersebut antara jam 2 petang dan 7 petang, antara Km21 dan Km27 lebuh raya tersebut.
Pada mulanya, 126 orang ditangkap semasa perhimpunan pada tahun 2000 itu, tetapi 115 dibebaskan tanpa menghadapi sebarang pertuduhan.
Tuduhan tersebut membawa hukuman maksimum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya.
Kesebelas mereka - 10 lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 34 dan 69 tahun - diwakili Mohd Yusmadi Yusof dan Fahda Nur Ahmad Kamar, manakala pendakwaan dilakukan oleh timbalan pendakwaraya Mohd Azari Harun.

