Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kementerian jamin bayar tunggakan padi
Diterbitkan:  Nov 26, 2011 4:18 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini memberi jaminan akan menjelaskan tunggakan pembayaran insentif peningkatan hasil padi kepada pesawah.

Menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar berkata kerajaan telah melulus peruntukan tambahan sebanyak RM117 juta baru-baru ini untuk dibayar kepada pesawah yang belum menerima insentif itu.

"Kementerian tidak dapat membayar insentif peningkatan hasil padi kepada semua petani yang berjaya meningkatkan hasil. Sebab itulah laporan audit menyatakan kementerian tertunggak bayaran sejumlah RM110 juta kepada petani terbabit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran penuaian padi musim 11/2011 bagi kawasan Parlimen Tanjong Karang, di Tanjong Karang hari ini.

Noh diminta mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2010 bahawa kementerian itu masih belum membayar RM110.67 juta kepada kira-kira 73,291 pesawah di bawah Insentif Peningkatan Hasil Padi (IPH) sejak 2007.

Insentif itu bertujuan memberi galakan kepada petani untuk meningkatkan hasil padi semasa dan sara diri mereka.

Noh berkata kementeriannya akan menambah peruntukan sebanyak RM80 juta bagi pembayaran tunggakan insentif berkenaan berikutan pertambahan hasil pengeluaran tanaman yang dijangka positif tahun depan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS