BERITA Malaysiakini

DAP: Pemimpin bukan Melayu tiada bercita-cita jadi PM

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tidak pernah ada seorang pun pemimpin bukan Melayu yang bercita-cita menjadi perdana menteri kerana rakyat Malaysia menerima realiti politik di mana jawatan itu harus disandang oleh pemimpin berbangsa Melayu, kata setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng.

lim guan eng press conference on bicycle lane 251111 1 Justeru, katanya, ura-ura untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan orang Melayu sahaja untuk menjadi perdana menteri bukan sahaja tidak diperlukan, malah bersifat perkauman kerana menganggap rakyat bukan Melayu sebagai rakyat kelas kedua.

“Selama ini Umno telah menggunakan taktik kejam untuk menipu dan menanam perasaan takut di kalangan orang Melayu, kononnya DAP menjadi pengancam kepada hak dan kepentingan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya lagi, ini langsung tidak berasas kerana perkhidmatan awam, polis dan tentera semuanya dikawal Melayu manakala sektor-sektor kritikal dalam ekonomi seperti insuran, perbankan, industri automobil, pelabuhan dan lebuh raya semuanya juga dikawal oleh usahawan-usahawan atau syarikat-syarikat Melayu.

Dalam politik pula, kata Lim, jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri disandang oleh orang Melayu. Begitu juga dengan jawatan semua menteri besar dan ketua menteri kecuali di Pulau Pinang sahaja.

NONE Oleh itu, kata Lim, tindakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ( kiri ) untuk mempertahankan agenda perkauman Umno dan pengakuannya bahawa beliau adalah Melayu dahulu dan rakyat Malaysia kemudian merupakan bukti bahawa 1Malaysia adalah slogan kosong.

Justeru, menurut beliau yang juga adalah ketua menteri Pulau Pinang, slogan berkenaan hanya bertujuan untuk mengaut undi dan akan dibuang selepas pilihan raya umum yang akan datang.

“Malah, Muhyiddin menggunakan logik yang tidak masuk akal bahawa pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan saya merupakan cauvinis Cina walaupun DAP telah berjuang untuk semua rakyat Malaysia dan keahlian parti kita terbuka kepada semua termasuk Melayu, India, Iban dan Kadazan.

“Muhyiddin dengan mudah juga telah lupa bahawa saya telah dipenjarakan dan kehilangan kerusi parlimen kerana memperjuangkan nasib seorang gadis Melayu bawah umur yang menjadi mangsa rogol,” katanya.

Malah, lebih mengejutkan, menurut Lim, Muhyiddin tidak merasa bahawa tindakannya untuk memperjuangkan agenda perkauman Melayu adalah bercanggah atau tidak konsisten dengan agenda rakyat Malaysia bukan Melayu.

NONE Tegasnya, ancaman kepada orang Melayu sebenarnya bukan DAP adalah Umno kerana sikap parti itu yang menggunakan serta mempertahankan pelanggaran hak asasi manusia, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Dengan menanam rasa takut serta menggunakan ugutan, Umno mengaburkan mata rakyat daripada skandal-skandal kewangan dan rasuah yang telah mengakibatkan kehilangan beratus-ratus bilion ringgit seperti pendedahan terkini Laporan Ketua Audit Negara 2010 tentang jabatan-jabatan kerajaan yang telah terlebih belanja sebanyak RM3.7 bilion tanpa apa-apa hukuman dikenakan.

“Selain itu, berlaku juga kontroversi di mana dana awam yang telah diberikan kepada sebuah syarikat yang berkaitan dengan seorang menteri telah digunakan bukan untuk tujuan yang sepatutnya, iaitu untuk penternakan lembu, tetapi sebaliknya telah digunakan untuk pembelian dua kondominium mewah,” katanya.