Umno Perak akan menugaskan setiap pekerja pilihanrayanya untuk mencari satu undi seorang bagi setiap kawasan Parlimen di negeri itu bagi menjamin kemenangan bagi Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.

"Umno Perak sedang mencari 4,000 hingga 5,000 pekerja pilihanraya bagi setiap kawasan Parlimen, yang masing-masing akan mencari satu undi. Kalau setiap pekerja dapat mencari satu undi, kita akan menang," kata Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Berikutan itu, menurut Bernama , Umno Perak akan mengadakan "pilihanraya olok-olok" di Bukit Gantang, dekat Taiping pada 24 Jan nanti sebagai persediaan menghadapi pilihanraya yang akan datang.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri, di Ipoh semalam, Tajol Rosli berkata, pilihanraya olok-olok ini akan memberikan tumpuan yang lebih kepada peti-peti undi orang Melayu.

"Kita juga akan melibatkan parti komponen BN (Barisan Nasional) yang lain supaya mereka juga dapat turut sama bersedia menghadapi pilihanraya," katanya.

Menurut Tajol Rosli, pilihanraya olok-olok, yang akan disertai semua Umno bahagian, akan divideokan untuk dijadikan panduan dalam membuat persiapan sebenar.

Sudah bersedia

Bukit Gantang, katanya, dipilih sebagai lokasi pilihanraya itu kerana bahagian berkenaan sendiri telah menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah.

"Dalam pilihanraya olok-olok itu nanti, kita juga akan mengambil kira semua perkara dan undang-undang baru SPR (Suruhanjaya Pilihanraya) supaya ahli-ahli Umno bersedia dengan perubahan yang ada," katanya.

Menurut beliau lagi, Umno Perak sehingga kini berada pada tahap yang baik dan sudah bersedia untuk menghadapi pilihanraya pada bila-bila masapun.

"Kita bangga (kerana) segala persiapan siap dan hanya menunggu isyarat dari pucuk pimpinan. Jika pilihanraya diadakan sekarang, Umno Perak mampu memenangi semua kerusi yang ditandingi.

Dalam pilihanraya umum 1999, Barisan Nasional berjaya memenangi 20 daripada 23 kerusi Parlimen yang ditandingkan. Daripada jumlah itu, Umno bertanding 11 kerusi dan berjaya memenangi 9 kerusi. Bagi kawasan Parlimen yang lain, parti pembangkang PAS memenangi dua kerusi manakala DAP mendapat satu.

Bagi Dewan Undangan Negeri pula, BN mendapat 44 daripada 52 kerusi, diikuti DAP (4), PAS (3) dan Keadilan (1). Umno pula bertanding di 30 kawasan dan memenangi 26 daripadanya.

Bagi pilihanraya yang akan datang, satu kawasan Parlimen yang baru dan tujuh kerusi negeri telah ditambahkan oleh SPR tahun lalu.

Sementara itu, katanya, Puteri Umno negeri akan mengadakan Seminar Puteri mengenai pilihanraya peringkat negeri pada 25 Jan nanti, yang akan dihadiri oleh setiausaha agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakob dan ketua Puteri Umno, Datuk Azalina Othman Said.