Kehangatan pilihanraya umum kesebelas semakin hangat apabila ada pihak tertentu yang dilaporkan mengedar surat palsu serta membuat panggilan telefon untuk mendapatkan sumbangan kewangan untuk tujuan tersebut.

Sehubungan, Setiausaha kerja Umno Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor membuat laporan polis mengenai pengedaran surat palsu serta panggilan telefon tersebut, yang mendakwa kononnya beliau menjadi penganjur bagi mendapatkan sumbangan kewangan sebagai persediaan pilihanraya akan datang.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan pengerusi perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, membuat laporan polis tersebut di Putrajaya semalam.

Sebelum ini, beliau pernah mengesan dan membuat laporan polis berhubung surat palsu dan surat layang yang menggunakan tandatangan palsu serta logo Umno.

Sambil menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya dalam pengedaran surat tersebut, Tengku Adnan berkata, beliau dimaklumkan pengedaran surat palsu dan panggilan telefon itu, antara lain, bertujuan memohon sumbangan kewangan dari individu, korporat dan syarikat, kononnya untuk membiayai aktiviti semasa kempen pilihanraya.

Bernama

memetik beliau sebagai berkata, surat tersebut menggunakan tandatangan palsu kononnya daripada beliau sendiri sebagai penganjur manakala panggilan telefon pula mengaitkan nama beliau dalam urusan tersebut.

Buat laporan

Berikutan pengedaran surat tersebut, pejabatnya menerima banyak panggilan dari syarikat dan individu yang bertanyakan mengenainya.

"Sehubungan itu, kami meminta syarikat-syarikat atau individu yang menerima atau dihubungi pihak tidak bertanggungjawab berhubung kutipan derma mahupun panggilan atau surat berkenaan, supaya melaporkan kepada pihak polis," katanya.

Tengku Adnan turut menafikan pernah melantik pihak tertentu atau mewakilkan kepada seseorang dalam mengendalikan segala urusan kutipan derma berkenaan.

Beliau berkata pihaknya memandang serius terhadap perbuatan jahat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama pemimpin dalam apa jua bentuk sekalipun.