Umno kecam pihak yang mahu tulis semula sejarah
Umno hari ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang cuba menulis dan meriwayatkan semula sejarah negara.
Presidennya, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan dasar pada perasmian Perhimpunan Agung Umno 2011 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur berkata, tindakan tersebut dilihat cuba untuk memperlekehkan sumbangan para pahlawan negara.
"Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mengenang budi, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan sekali-kali membiarkan wirawan serta wirawati kita, tanpa pembelaan sewajarnya.
"Sesungguhnya, jasa dan bakti mereka akan terus malar serta segar dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat Malaysia,” kata Perdana Menteri.
Malah, Najib dalam pembentangan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat pada 7 Okt lalu turut mengiktiraf sumbangan dan jasa pejuang negara dengan mengumumkan pemberian sumbangan RM3,000 secara one-off kepada setiap bekas anggota keselamatan serta duda dan balu mereka yang kesemuanya berjumlah 62,000 orang.
Najib dalam ucapannya turut menyentuh mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB), di mana katanya: “ DEB sebenarnya telah mengasaskan kestabilan sosial kebangsaan yang membolehkan penciptaan kekayaan dan kemakmuran dinikmati oleh semua pihak.”
"Berlawanan dengan tafsiran cetek sesetengah pihak, DEB sejelasnya tidak pernah merugikan orang-orang bukan Melayu,” katanya.
Buktinya, setelah dua dekad pelaksanaan DEB pada tahun 1990, orang bukan Melayu masih lagi memiliki ekuiti terbesar dalam kekayaan negara manakala pendapatan purata isi rumah mereka masih yang tertinggi di antara kaum di negara ini, tegasnya.
"Diperakui, walaupun matlamat pemilikan ekuiti (orang Melayu) tidak tercapai sepenuhnya, paling terkesan ialah penciptaan kelas menengah Melayu yang besar, menjelang berakhirnya dasar ini,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata, saiz kelas menengah ini meningkat tinggi dengan pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional antara 1991 hingga 2000.
- Bernama

