Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (MPEM) tidak bersetuju dengan tuntutan beberapa Umno negeri supaya jawatan tertinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diberikan pada orang Umno.

Presidennya Datuk Rozali Ismail bagaimanapun berkata, penerajunya mesti memainkan peranan membantu ekonomi orang Melayu.

"Kalau ganti semua, masuk mereka yang aktif dalam politik, mereka tiada masa. Separuh masa dalam politik dan separuh lagi untuk syarikat. Saya rasa itu bukan... (berhenti sekejap)

"Dalam syarikat mesti ada 100 peratus perhatian," katanya yang juga pengerusi eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), milik kerajaan pusat.

Semalam perwakilan menuntut kerajaan memperuntukkan kerusi penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada anggota Umno.

Mengulangi seruan yang sama pada persidangan tahun lalu, mereka berpendapat tindakan itu akan memberikan manfaat kepada ekonomi orang Melayu.

"Apa gunanya GLC kalau tidak membantu parti dan orang Melayu dalam pentadbiran negara.

"Dalam perhimpunan ini pun saya nampak hanya Proton yang ambil bahagian. Mana yang lain?" soal perwakilan Puteri Umno, Wan Salwati Abdullah ketika membahaskan ucapan dasar presiden.

Manakala perwakilan Pahang, Datuk Rosni Zahari pula terus memanjangkankan isu itu dalam perbahasan seterusnya membincangkan usul ekonomi dalam persidangan itu di Kuala Lumpur.

"GLC patut laksanakan agenda membangunkan ekonomi Bumiputera. Adakah hari ini ia berlaku?

"Saya cadang ia diberi pada orang Umno dalam dewan ini kerana mereka faham dan akan memantapkan perjuangan Melayu," katanya.

Rosni berkata, setakat ini, penjawat jawatan penting seperti ketua pegawai eksekutif (CEO) yang bukan daripada Umno, gagal memahami perjuangan Melayu.