Kerajaan mengarahkan UDA Holdings Bhd (UDA), supaya merangka semula pelan induk pembangunan bekas tapak Penjara Pudu supaya melibatkan lebih banyak penyertaan Bumiputera dalam pembangunan sektor hartanah di Malaysia.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin berkata, jawatankuasa mahu melihat semula (pelan induk) pembangunannya bagi mengambil kira cara untuk membantu “memperlihatkan” lebih banyak pembabitan bumiputera (dalam projek ini), dan pada masa yang sama menjayakannya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Setem Korporat 40 tahun UDA dan perasmian Hotel Ancasa Express @ Pudu, di Kuala Lumpur hari ini.
"Kita kena pastikan bahawa UDA mempunyai matlamat untuk membantu ekonomi bumiputera. Apa pun masa depan dan peranan bumiputera, mesti dapat dimainkan oleh UDA. Itu yang ingin ditekankan oleh kerajaan.
"Sebab itu perancangan perlu dibuat untuk memastikan bukan sahaja pembangunan di situ dapat dijayakan dengan baik dan menjadi kebanggaan UDA, malah juga untuk kebanggaan masyarakat bumiputera.
“Sebab itu perlu ada penyertaan bumiputera dalam projek pembangunan ini,” kata Awang Adek.
- Bernama
