Ramasamy didesak mohon maaf pada Karpal
Timbalan ketua pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy mesti menarik balik kenyataannya mengenai 'godfathers dalam DAP' dan meminta maaf kepada pengerusi nasional DAP, Karpal Singh, kata ahli jawatankuasa DAP negeri, RSN Rayer.
Ramai pemimpin akar umbi dan ahli kecewa dengan kenyataan Ramasamy dan menuduhnya telah lupa kerana Karpal lah beliau menjadi ketua menteri 11 Pulau Pinang.
Rayer mendakwa, apabila Pakatan Rakyat mengambil alih Pulau Pinang pada tahun 2008, Ramasamy - ahli parlimen Batu Kawan - telah "merayu" untuk mendapatkan jawatan tersebut.
Pada masa itu, dakwanya, Karpal sedang dirawat di hospital dan Ramasamy pergi menemuinya serta merayu kepadanya supaya bercakap dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng mengenai pelantikannya ke jawatan tersebut.
Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Rayer mendakwa bahawa Ramasamy telah dilantik ke jawatan tersebut selepas Karpal bercakap dengan Lim.
'Jangan perkecilkan godfathers'
Semalam Ramasamy dilaporkan berkata DAP bukan sahaja membersihkan parti itu daripada 'Warlords' tetapi juga godfathers. Ianya adalah dalam konteks keputusan mengenai peruntukan kerusi untuk pilihan raya umum ke-13.
Beliau tidak menyatakan siapa yang beliau maksudkan dengan "godfathers" itu tetapi beberapa pemimpin membidasnya kerana tidak "menghormati" pemimpin-pemimpin kanan parti.
Karpal menjawabnya dengan mengatakan bahawa godfathers adalah perlu kerana pemimpin veteran telah menyumbang kepada kemajuan parti.

