Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan hari ini bahawa tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap wanita Islam yang tidak memakai tudung atau menutup aurat di negeri itu.

Malah, katanya, wanita bukan Islam juga bebas untuk mengenakan pakaian mengikut agama yang mereka anuti.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak pernah mempunyai undang-undang yang berkaitan dengan etika berpakaian dan tidak berhasrat untuk mengadakan undang-undang atau peraturan seperti itu di dalam Majlis Daerah atau Perbandaran.

"Sehingga kini sebenarnya tidak ada lagi undang-undang (etika berpakaian) bagi Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT)...Apa yang kita lakukan ialah secara motivasi, secara mendidik masyarakat.

"Bagi orang Islam, memakai pakaian yang menutup aurat adalah wajib dan bagi orang yang bukan Islam, mengikut agama masing-masing, dan dalam masa yang sama menghormati antara satu sama lain dalam masyarakat berbagai kaum," katanya kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat mingguan Exco di Kuala Terengganu.

Pada 4 Jan lalu, Yang Dipertua MPKT Dr Sulaiman Abdullah dilaporkan sebagai berkata MPKT akan menguatkuasakan peraturan penutupan aurat bagi pekerja wanita Islam dan memakai pakaian sopan bagi pekerja wanita bukan Islam di premis-premis perniagaan.

Dr Sulaiman juga dilaporkan berkata surat pekeliling telah dihantar untuk memaklum dan mengingatkan golongan peniaga mengenai perkara itu.

Peribadi

Walaupun beliau dilaporkan berkata bahawa penguatkuasaan adalah langkah terakhir, tetapi mereka yang terus tidak mematuhuinya, boleh dikenakan kompaun sehingga RM250 atau lesen premis tidak akan diperbaharui.

Bagaimanapun, kenyataan beliau itu telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat Islam dan bukan Islam.

Menurut Abdul Hadi yang juga presiden PAS, laporan akhbar sebelum ini yang menunjukkan seolah-olah kerajaan negeri mahu menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan etika berpakaian bagi wanita, adalah tidak benar.

"PAS sebenarnya tidak ada undang-undang yang kita nak isytiharkan dan kita tidak berhasrat untuk meluluskan undang-undang seperti itu, kerana kita masih lagi mengambil pendekatan melalui kefahaman rakyat dan kita melihat terdapat kejayaan di dalam perkara ini, kerana berlakunya perubahan yang sangat menggalakkan," katanya.

Menurut Abdul Hadi lagi, kenyataan yang dibuat oleh Dr Sulaiman itu adalah kenyataan peribadi.

"Itu satu kenyataan peribadi dan bukan kenyataan dari Majlis Perbandaran (Kuala Terengganu), kerana kita harus sedar di dalam negara, Majlis Daerah dan (Majlis) Perbandaran ini ada wakil-wakil dari masyarakat bukan Islam dan pendapat mereka tidak diambil di dalam kenyataan itu.

"Dan itu bukan satu resolusi yang diambil di dalam mesyuarat Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran. Itu kenyatan peribadi," katanya.

Selepas menyelidik perkara itu, Abdul Hadi berkata beliau mendapati MPKT tidak pernah membuat keputusan seumpama itu.