AirAsia Bhd akan memansuhkan bayaran daftar masuk manual sebanyak RM10 untuk penerbangan antarabangsa pada bulan depan, kata Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Tan Sri Tony Fernandes hari ini.

    

Beliau berkata syarikat penerbangan tambang rendah itu juga meninjau untuk menyemak semula caj kemudahan yang dikenakan terhadap penumpang AirAsia.

Fernandes, bagaimanapun berkata, bayaran daftar masuk akan kekal bagi penerbangan domestik memandangkan penerbangan berkenaan tanpa gangguan, oleh itu tiada sebab penumpang mendaftar masuk melalui lamanweb.

    

"Penerbangan antarabangsa memerlukan lebih banyak kertas dan proses pengenalan, jadi kami memutuskan untuk menghentikan mengenakan bayaran kepada penumpang," katanya.

Beliau memberitahu demikian selepas merasmikan Pusat Pengembaraan dan Perkhidmatan ke-35 AirAsia, pusat sehenti bagi perkhidmatan dan perjalanan yang menawarkan tempahan penerbangan dan hotel serta pelancongan di KL City Walk, berhampiran Kuala Lumpur City Centre.

Fernandes berkata pusat berkenaan akan memudahkan penumpang AirAsia mendapat akses kepada jadual penerbangan, produk dan perkhidmatan.

    

"Walaupun pusat ini dikendalikan oleh pengusaha bebas, orang ramai boleh mengharapkan jaminan yang mereka diberi kebenaran sepenuhnya dan akan mematuhi standard perkhidmatan yang tinggi yang disediakan AirAsia.

    

"Pusat berkenaan direka bentuk bagi memenuhi keperluan pelanggan di luar talian, mereka yang tanpa akses kepada laman web kami serta tidak dapat membuat tempahan di rumah," katanya.

    

Selain 35 outlet di Malaysia, pusat berkenaan juga beroperasi di China, Kemboja, Iran dan Vietnam.

    

Sementara itu, Fernandes berkata AirAsia menghentikan perkhidmatan pusat panggilannya di Malaysia mulai Mac tahun depan.

Katanya, perkhidmatan itu, yang disumber luar daripada firma lain, tidak mencatat keuntungan, dan jumlah jualan tidak ketara.

    

Menurutnya langkah itu akan menggalakkan lebih ramai pelanggan menggunakan meja bantuan dalam talian syarikat penerangan tambang rendah atau pergi ke Pusat Perkhidmatan dan Perjalanan AirAsia yang terdekat.

    

"Pusat-pusat panggilan tidak dapat menampung asas dan kehendak pelanggan kami yang pesat berkembang. Kami menghentikan jualan di pusat itu empat bulan lepas dan kami akan menamatkan perkhidmatan pusat panggilan menjelang Mac 2012," katanya.

Fernandes berkata pusat-pusat panggilan menerima banyak panggilan palsu serta panggilan daripada pengguna yang tidak berpuas hati terhadap perkhidmatan syarikat penerbangan itu. Pusat itu ditubuhkan untuk menjual tiket penerbangan.

    

AirAsia juga mempunyai pusat-pusat panggilan di Indonesia, India, Thailand dan China.

    

"Pusat panggilan di Indonesia dan Thailand sudah diminta mengemukakan laporan sama ada pusat perkhidmatan itu masih diperlukan.

    

"Bagaimanapun kami akan mengekalkan pusat panggilan di China dan India berikutan AirAsia tidak mempunyai pejabat di sana.

    

"Pusat panggilan merupakan kaedah tradisional yang sudah sebati dengan penduduk di kedua-dua negara itu," kata Pengarah Komersil AirAsia Jasmine Lee.

    

Beliau berkata meskipun kos penjimatan operasi akibat penutupan pusat panggilan tidak ketara, jumlah itu boleh digunakan untuk meningkatkan modal insan dan merangsang promosi pasaran.

- Bernama