Malaysiakini: Benarkah Terengganu sekarang bukan lagi negeri termiskin kerana program-program yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini?

Mohd Salleh: : Terengganu masih lagi miskin meski siaran akhbar Kementerian Kewangan mengatakan sebaliknya. Kita boleh lihat di sana-sini tanda-tanda kemiskinan. Mereka yang berhajatkan bantuan am daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat bertambah ramai.

Menurut kajian pakar ekonomi, Terengganu adalah negeri kedua tertinggi pendapatan per kapita, RM19,880 selepas Wilayah Persekutuan (RM25,100). Tetapi negeri juga menduduki tempat kedua tertinggi - kadar kemiskinan (17.3 peratus). Tahap kemiskinan ialah penduduk yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM400 sebulan bagi setiap keluarga.

Kerajaan Terengganu sejak 1978 sehingga bulan Februari tahun ini menerima lebih kurang RM7 bilion. Tetapi kerajaan itu masih lagi berhutang kepada kerajaan pusat lebih kurang RM700 juta. Ke manakah lesapnya wang RM7 bilion itu?

Orang yang dapat memberi penjelasan dan bertanggungjawab ialah mereka yang memegang kuasa kerajaan Terengganu sebelum kerajaan baru PAS sekarang. Setakat yang kita dapat lihat dan hisbah dengan secara kasar, wang itu dibelanjakan dengan seboros-borosnya seolah-olah sumber petroleum itu akan berkekalan.

Wang itu (selain membayar perbelanjaan pengurusan pentadbiran), sebahagian besarnya dibelanja untuk mendirikan bangunan-bangunan kerajaan yang besar-besar dan melebihi keperluan, serta melabur dalam beberapa syarikat.

Boleh dikatakan semua syarikat ini bermasalah dan tidak memberi apa-apa pulangan sebagai hasil kepada kerajaan negeri, bahkan menjadi bebanan yang berat. Tiap-tiap kali mereka (syarikat itu) menghadapi kesusahan wang, mereka meminta bantuan daripada kerajaan negeri.

1) Pelaburan dalam Perwaja

Terengganu melabur dalam Perwaja. Sehingga akhir 1998, Perwaja mengalami jumlah kerugian lebih kurang RM3.5 bilion. Kerajaan negeri sebagai pemegang 19 peratus saham dalam syarikat itu telah menanggung kerugian sejumlah RM671,545,880. Jumlah itu tidak boleh dikira kecil. Jumlah ini hampir sama dengan hutang kerajaan Terengganu kepada kerajaan pusat.

2) Pelaburan dalam Gunawan Iron & Steel Sdn. Bhd.

Terengganu juga melabur dalam satu syarikat bernama Gunawan Iron and Steel melalui anak syarikatnya yang bernama Permodalan Terengganu Berhad (PTB). Penceburan PTB dalam syarikat itu ialah RM3.6 juta. Dalam pelaburan itu, PTB sudah menanggung kerugian lebih kurang RM100 juta.

Selain itu, Terengganu di bawah pimpinan Barisan Nasional melalui Tabung Amanah Warisan (TAW) telah memberikan jaminan kepada bank sejumlah RM350 juta. Sekarang Gunawan Iron and Steel itu tidak beroperasi lagi.

Bangunannya sudah buruk dan satu kren yang dibeli dengan harga lebih kurang RM7 juta tersadai di Pelabuhan Kemaman, menjadi besi buruk dan menghalang aktiviti di pelabuhan ini. Jumlah besar kerugian itu lebih kurang RM453.6 juta.

Program yang semacam inikah yang menjadikan rakyat Terengganu terbela dan menjadikan negeri itu terhenti daripada kemiskinan?

Sudahlah negeri ini kehilangan wang modal RM3.6 juta, kerugian pula RM100 juta dan menanggung beban jaminan kepada bank sebanyak RM350 juta.

Jika bank mengambil langkah undang-undang ke atas jaminan itu, siapakah yang akan membayarnya? Dan bagaimanakah hendak membayarnya?

3) Bekalan air di Pulau Redang

Kerja membekalkan air telah dikontrakkan oleh kerajaan negeri kepada anak syarikatnya yang bernama Babena, meskipun ada beberapa buah syarikat lain lagi yang layak. Pemberian kontrak kepada Babena tidak disokong oleh pakar perunding. Tetapi kontrak tetap diberikan.

Akhirnya, apa yang sudah berlaku ialah kontrak asal sebanyak RM24.26 juta naik mejadi 46 juta, iaitu pertambahan RM20 juta. Sejumlah RM11 juta daripada jumlah ini mesti dibayar kerana terdapat 10 perintah mengubah (VO). Tetapi kenapahkah mesti perlu 10 VO?

Selain itu, VO yang terakhir itu tidak ditandatangani sebagai diluluskan oleh jawatankuasa (berkenaan). Tetapi kenapakah kerajaan Terengganu tetap membayar? Sementara RM9 juta daripada tambahan ini ialah bayaran sagu hati (ex-gratia) kepada Babena dengan tidak ada apa-apa sebab langsung.

Saguhati asal dituntut oleh Babena sebanyak RM15 juta, tetapi setelah pihak pembangkang (PAS) pada masa itu membantah sekeras-kerasnya, kerajaan BN dahulu membuat keputusan membayar saguhati kepada Babena sebanyak RM9 juta sahaja.

Sepatutnya Babena mesti membayar denda kepada kerajaan negeri. Tetapi kenapa keadaan ini menjadi terbalik? Sekarang, meski dengan wang sebegini banyak dibelanjakan, Babena sudah mejadi tenat. Kenapa? Ke manakah pergi wang begitu banyak?

Yang amat menyedihkan, bekalan air itu ialah seolah-olah untuk menepati keperluan sebuah hotel besar di pulau ini sahaja. Walau terdapat seramai lebih kurang 250 keluarga yang menetap di pulau itu, 70 peratus daripada air yang dibekalkan digunakan oleh hotel tersebut. Bakinya sahaja digunakan oleh penduduk kampung.

Sebelum bekaan air itu dibuat, hotel ini bersetuju mencarumkan 30 peratus daripada harga membina bekalan tersebut, tetapi setakat ini satu sen pun belum dibayar. Kerajaan baru (PAS) sekarang mencari jalan supaya caruman yang dijanjikan itu tetap dibayar.

Soalnya, adakah cara membina bekalan air ke Pulau Redang itu ialah satu program untuk menghapuskan kemiskinan rakyat Terengganu?

4) Pembelian pesawat udara

Pembelian kapal terbang untuk sebuah anak syarikat kerajaan Terengganu bernama Mediair adalah satu lagi cara wang royalti petroleum digunakan oleh kerajaan (BN) dahulu.

Pada 1990, Terengganu telah menubuhkan Tabung Amanah Warisan (TAW) yang mengambil 15 peratus atau maksimum RM30 juta daripada royalti petroleum. Tetapi bagaimana pula tabung ini dibenarkan oleh undang-undang untuk diniagakan dan melabur dalam perniagaan yang penuh dengan risiko? Saya tidak faham!

Ada satu lagi tabung bernama Tabung Pendidikan, ditubuhkan 1997. Tabung ini menerima wang tunai 10 peratus daripada Tabung Amanah Warisan. Jumlah wang yang berkumpul dalam Tabung Pendidikan ialah RM10 juta.

Pegawai tinggi di syarikat TDM pada masa itu merancang hedak menubuhkan satu anak syarikat bernama Mediair kononnya untuk mengangkut orang sakit dari satu-satu tempat dengan menggunakan pesawat udara ke hospital-hospital di bandar. Satu pesawat udara mesti dibeli.

Satu kertas kerja yang cantik dan lengkap telah disiapkan - menggambarkan keuntungan lumayan kepada Tabung Pendidikan. Cadangan ini ialah: supaya tabung itu membeli satu pesawat daripada wang yang ada dan ia kemudiannya disewakan kepada Mediair.

Mediair akan membayar sewa kepada Tabung Pendidikan kerana menggunakan kemudahan pesawat itu. Apabila pesawat dibeli, pesawat itu tidak boleh didaftarkan atas nama Tabung Pendidikan sebagai tuan empunya kerana tabung itu tidak ada lesen.

Oleh itu, pesawat itu didaftarkan di bawah syarikat lain sebagai tuan empunya. Sewa yang dijanjikan itupun tidak dibayar kerana syarikat itu mengalami kerugian.

Harga yang dibayar oleh Tabung Pendidikan untuk tujuan itu ialah RM6.9 juta. Jenis pesawat yang dibeli itu ialah Piper Chyne yang sudah terpakai. Melalui maklumat ini yang telah diperolehi dalam internet, pesawat yang serupa dan sejenis dengan Piper Chyne, harga pesawat barunya ialah US$1.2 juta sahaja (atau lebih kurang RM4 juta).

Manakala harga bagi pesawat terpakai ini lebih kurang US$200,000 sahaja, iaitu lebih kurang RM800,000. Apakah justifikasi (kerana negeri) membelanjakan RM6.9 juta untuk membeli pesawat buruk itu? Tidakkah ini pembayaran boros yang tidak tahu batas sempadan?

Siaran akhbar Kementerian Kewangan menyebutkan kerajaan pusat berkata, "selama ini kerajaan pusat memantau perbelanjaan wang royalti oleh kerajaan BN Terengganu dan telah memastikan wang tersebut digunakan semata-mata untuk tujuan pembangunan. Kerajaan pusat meneliti laporan audit ke atas perbelanjaan itu."

Dengan penjelasan panjang lebar yang diberikan di atas, masihkah lagi kerajaan pusat berpuas hati degan perbelanjaan yang dibuat kerajaan BN Terengganu itu? Laporan audit yang dipenuhi dengan teguran-teguran menunjukan bahawa perbelanjaan yang dibuat itu dahulu tidak sepatutnya dibuat.

Ada lagi beberapa contoh bagaimana wang royalti petroleum dibelanjakan oleh Kerajaan BN dahulu; tetapi setakat ini sudah memdai dengan empat kes tadi.

[#1]Halaman 2[/#]