Dr M: Minta maaf saja pada 'godfather' Karpal Singh
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bukan menjadi rahsia bahawa pengerusi DAP Karpal Singh adalah ‘godfather’ atau ‘bapa angkat’ parti itu dan sesiapa yang mengkrtiknya perlu memohon maaf.
"Dia (timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang P Ramasamy) hanya bercakap benar. Semua orang tahu Karpal adalah ‘godfather’.
"Awak mesti berbaik dengannya. Jika awak mengguris atau menyakitkan hatinya, awak kena minta maaf,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Larian Sahara Dinas Emas di Kuala Lumpur.
Walaupun sangsi dengan pertelingkahan dalaman DAP itu yang dianggapnya sebagai sandiwara, nasihat Mahathir kepada Ramasamy adalah: "Beliau (Karpal) bukan minta apa-apa. Cuma, perlu kata, Saya minta maaf”.
Sementara itu, Bernama melaporkan Mahathir yang juga penasihat Proton Holdings Bhd, berkata beliau mahu melihat syarikat yang mempunyai jumlah wang paling banyak membeli kepentingan yang mahu dijual oleh Khazanah Nasional Bhd.
"Pada masa ini, Proton tidak dapat membuat kemajuan, memperkenal kenderaan baharu dan sebagainya kerana kekurangan dana," katanya.
Dr Mahathir berkata Khazanah perlu membuat keputusan memadangkan saham berkenaan milik syarikat.
"Saya mendapat tahu (Khazanah) mahu menjual, namun belum membuat pengumuman. Ia mungkin baik, bergantung kepada siapa yang akan mengambil alih dan berapa banyak yang mereka bayar," katanya.
Kebimbangan Dr Mahathir ialah jika harga saham itu terlalu tinggi, pemulihan syarikat mungkin sukar.
"Seperti benda lain, jika kos modal sangat tinggi, agak sukar untuk membuat keuntungan," katanya.
Dr Mahathir berkata beliau mahu Proton diurus dengan baik dan menjadi syarikat yang berjaya, dan menambah beliau tidak "membuat untung daripadanya."
Beliau juga berkata pembeli kepentingan itu perlu membuat tawaran awam (GO) jika ia membeli lebih daripada 30 peratus kepentingan ekuiti.
"Saya difahamkan bahawa Khazanah memiliki 42 peratus untuk dijual, oleh itu sama ada DRB-Hicom atau sesiapa sahaja, pembeli perlu membuat GO untuk baki saham itu," katanya.
Ditanya pendapat beliau mengenai GO Proton, Dr Mahathir berkata beliau "tidak setuju" dengannya dan menambah ia bukan kerana pembeli akan mengambil Proton tetapi kosnya akan menjadi sangat tinggi dan akan menyukarkan pemulihan syarikat.
"Pembeli perlu menyuntik lebih banyak wang dalam Proton, mungkin RM2 bilion lagi," katanya.
Oleh itu, syarikat yang membeli kepentingan mesti mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan mengetahui cara untuk mengurusnya atau ia mungkin menyebabkan syarikat rugi dan menjejaskan Proton.
"Saya tidak mahu Proton terjejas, saya tidak perduli jika yang lain terjejas, tetapi bukan Proton," katanya.

